Isu perlunya penyatuan Melayu, terutama melibatkan UMNO dan PAS, selama ini hanya sering dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Bahkan kerana gesaan penyatuan Melayu yang digesanya itu tidak dipersetujui oleh UMNO, itulah yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Dr Akmal berpendirian beliau wajar meletakkan jawatan kerana suara akar umbi yang cuba diketengahkannya melalui konvensyen khas pada 3 Januari tidak mendapat tempat di hati UMNO.
Tetapi berdasarkan ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam penggulungan PAU2025 semalam, adalah jelas isu penyatuan Melayu itu tidak ditolak oleh UMNO.
Bahkan melalui beberapa pengumuman yang dibuat oleh Ahmad Zahid semalam, penyatuan Melayu yang cuba diterokainya adalah lebih luas lagi dan tidak semata-mata melibatkan UMNO dan PAS saja.
Pertama, beliau mengemukakan usul pembentukan satu gabungan besar kerjasama atau “kolaborasi agung” bagi menyatukan semua parti Melayu dan Islam di negara ini.

“Saya mohon persetujuan sidang perwakilan sekalian untuk kita membentuk grand collaboration atau kolaborasi agung bagi menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di negara ini untuk berada di bawah satu gabungan.
“Yang saya bayangkan memang ada yang merisik dan meminang, dengan ini risikan dan pinangan itu diterima dengan rasminya, dengan syarat tidak mengganggu-gugat kerajaan perpaduan yang ada dan kita mahu supaya grand collaboration itu dapat benar-benar menyatukan roh dan perjuangan parti-parti Melayu- Islam dalam kerangka yang lebih besar,” katanya.
“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) jangan risau, saya tidak akan ada agenda untuk tepuk atap atau mahu menggugat kerajaan perpaduan tapi semata-mata bertujuan untuk menterjemahkan keikhlasan UMNO untuk merangkul semua parti-parti Melayu-Islam berada dalam satu bumbung demi kepentingan dan agenda Melayu-Islam,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata, pada peringkat awal ini perbincangan mengenai kerjasama agung itu akan melibatkan 10 pemimpin utama pelbagai parti politik.
Dalam waktu yang sama, sambil menolak kolaborasi agung itu untuk mengambil alih peranan payung besar yang diusahakan Tun Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri itu juga mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan PAS dan Bersatu tidak lama sebelum ini.
Kedua, mengumumkan penubuhan Musyawarah Nasional bagi mengurus selia dan membincang agenda politik Melayu yang menyentuh soal kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak-anak bangsa.
Beliau juga memohon persetujuan perwakilan PAU2025 untuk melantik bekas Menteri Besar Johor, Ghani Othman sebagai Pengerusi Musyawarah Nasional itu.
Ketiga, dalam ucapan awal penggulungan semalam, Ahmad Zahid turut mengumumkan penubuhan Majlis Perundingan Ummah yang penubuhannya dipersetujui dan mendapat restu daripada kabinet.
Katanya, kabinet juga bersetuju untuk melantiknya sebagai pengerusi majlis tersebut.
“Dulu sewaktu saya menjadi Timbalan Perdana Menteri (kali pertama), saya telah menubuhkan Majlis Perundingan Islam yang menyatukan pelbagai NGO, parti politik ke dalamnya untuk membincangkan tentang agenda-agenda Islam.
“Kabinet (kali ini) telah meluluskan penubuhan Majlis Perundingan Ummah dan saya selaku pengerusinya akan mewujudkan 11 kluster.
“Ia akan mengumpulkan para pemikir strategik, ulama, ahli akademik, pemimpin, NGO, tokoh korporat, wakil kerajaan serta tokoh-tokoh politik rentas kepartian bagi membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan ummah Islam di Malaysia,” tambahnya lagi.
Ahmad Zahid mengumumkan Majlis Perundingan Ummah itu akan dilancarkan penubuhannya secara rasmi pada bulan depan.
Selain tiga perkara di atas, Ahmad ketika merasmikan PAU2025 telah mengumumkan penubuhan Rumah Bangsa sebagai platform bagi menerima penyertaan secara beramai-ramai mana-mana pertubuhan parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) Melayu atau individu termasuk ahli profesional untuk menyertai UMNO.
Rumah Bangsa akan dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin yang juga merupakan Menteri Pertahanan.
Walaupun sebelum ini Ahmad Zahid mengumumkan UMNO akan kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga habis penggal, tidak diragui lagi semua pengumuman berkaitan Melayu/Islam yang dibuatnya semalam adalah sebagai persediaan untuk menghadapi PRU16 akan datang.
Sama ada semua pendekatan yang cuba dilakukannya itu akan berjaya atau tidak, atau adakah parti-parti Melayu dan NGO Melayu/Islam sedia menyertainya, hakikatnya Ahmad Zahid sedang berusaha meletakkan dirinya sebagai juara penyatuan Melayu.
Tentunya harapan beliau juga ialah agar UMNO pada PRU16 nanti mampu menang lebih daripada 26 kerusi Parlimen.
Dalam keadaan orang Melayu berpecah dan tercari-cari hala tuju, setidak-tidaknya usaha Ahmad Zahid menggerakkan penyatuan Melayu dalam skala yang lebih besar dan menyeluruh ini memang wajar diberi pujian. – ShahbudinHusin 18Januari2026.
Leave a Reply