Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

UMNO JANGAN TOLAK UNTUK BERSAMA PN

Mereka yang mengikuti tulisan saya sejak dulu pasti sedar bahawa saya kerap sekali menganjurkan agar UMNO menjalin kerjasama dengan PN pada PRU16 akan datang.

Sandaran utama saya menyarankan demikian ialah kerana ia diyakini memberi harapan lebih cerah kepada masa depan UMNO.

Dengan bekerjasama dengan PN, selain saya berkeyakinan UMNO mampu mengekalkan 26 kerusi Parlimennya sedia ada, tetapi juga berpeluang menambah kepada 40 hingga 45 kerusi.

Dalam keadaan sentimen sokongan rakyat kepada PH makin lemah sejak gabungan itu mengetuai kerajaan, jika UMNO bekerjasama dengan PN dan mereka bertanding di beberapa kerusi yang sekarang dimenangi PKR atau Amanah, peluang untuk menang adalah amat cerah.

Berdasarjan keadaan politik yang begitu rencam dan sudah berubah, dapat memenangi antara 40 hingga 45 kerusi Parlimen boleh dikira sudah cukup baik bagi UMNO.

Nostalgia UMNO pernah menang sehingga 109 kerusi Parlimen (tahun 2004), 79 kerusi (tahun 2008) atau 88 kerusi (tahun 2013) adalah sejarah yang tidak mungkin berulang kembali.

Ketika UMNO kalah dan hilang kuasa pada 2018, jumlah kerusi dimenanginya ialah 54 dan pada PRU tahun 2022, kerusi dimenangi UMNO hanyalah 26.

Keputusan pada PRU15 itu menjadikan UMNO ketinggalan berbanding dua parti serpihannya sendiri iaitu PAS (43 kerusi) dan Bersatu (31 kerusi).

Oleh itu, apabila PAS semalam menawarkan UMMO untuk bekerjasama dengan PN dan menjanjikan pertambahan 10 kerusi mampu dimenangi parti itu pada PRU akan datang, ia adalah tawaran yang cukup menarik sebenarnya.

Ertinya, jika UMNO sedia bekerjasama dengan PN, sekurang-kurangnya parti itu akan memiliki 36 kerusi Parlimen (tidak termasuk komponen BN) selepas PRU16 akan datang.

Berbanding jika UMNO bertanding solo atau atau kekal bekerjasama dengan PH – percayalah – sebahagian daripada 26 kerusi Parlimen sedia ada pun akan melayang.

Hasil yang tidak memberangsangkan  apabila UMNO bekerjasama dengan PH sudah jelas tertayang di depan mata.

Selain keputusan buruk itu boleh dilihat ketika PRN enam negeri pada 2023 lalu, keputusan PRN Sabah baru-baru ini adalah fakta tambahan yang mengesahkan lagi hakikat tersebut.

Dengan itu, apa UMNO nak tunggu lagi?

Memang ada segelintir pemimpin UMNO yang menentang parti itu bekerjasama dengan PN dengan alasan bimbang ramai pemimpinnya yang kalah kepada PAS dan Bersatu pada PRU15 lalu tidak akan berpeluang bertanding lagi.

Nampaknya yang mereka risau ialah kurang kerusi ditandingi, bukan kurang kerusi dapat dimenangi.

Dunia sudah berubah, seharusnya pemimpin UMNO juga kena berubah.

Biar tak banyak kerusi yang ditandingi, asalkan semuanya dapat dimenangi.

Buat apa dapat bertanding banyak kerusi jika banyak juga yang tidak dapat dimenangi.

Selain itu, dengan UMNO bekerjasama dengan PN yang disokong oleh lebih 70 peratus pengundi Melayu berdasarkan keputusan PRU15 lalu dan sentimen itu berterusan hingga sekarang, kerajaan yang dapat dibentuk nanti juga adalah kerajaan yang betul-betul Melayu dalam erti kata yang sebenarnya.

Tidak sepertimana sekarang, meskipun UMNO dan PH berjaya membentuk kerajaan, namun sokongan majoriti pengundi Melayu ada bersama PN yang berada di blok pembangkang.

Atas apa juga nama yang dicadangkan UMNO untuk penyatuan Melayu kebelakangan ini – Kolaborasi Agung, Musyawarah Nasional, Rumah Bangsa atau Majlis Perundingan Ummah, ia tidak akan memberi erti dalam maksud untuk mengembalikan kuasa Melayu di negara ini melainkan dengan parti itu bekerjasama dengan PN. – ShahbudinHusin 21Januari2026.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x