Daripada:
Dato’ Mohd Zaid bin Ibrahim
Ahli UMNO, Cawangan Bukit Damansara
Kepada:
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO
Pengerusi Barisan Nasional
YAB Dato’ Seri Presiden,
Saya menulis surat ini dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai ahli parti yang prihatin terhadap masa depan UMNO, kestabilan negara, dan maruah perjuangan bangsa.
Setelah meneliti perkembangan politik mutakhir, saya berpendapat bahawa UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh meneruskan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Perpaduan yang beliau pimpin.
Pandangan ini bukan bersifat peribadi, sebaliknya berdasarkan Perlembagaan UMNO, penilaian rasional terhadap kepentingan negara dan masa depan parti. Berikut adalah alasan yang mendesak kita mempertimbangkan langkah tersebut.
- Kegagalan Mempertahankan Kedaulatan Kepentingan Negara dalam Rundingan Strategik Antarabangsa
Pendekatan Perdana Menteri dalam rundingan perdagangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, jelas tidak mencerminkan kesungguhan beliau untuk menjaga kepentingan negara.
Perjanjian yang dimeterai itu telah dikecam oleh pelbagai pihak kerana bersifat berat sebelah dan merugikan Malaysia, termasuk oleh empat orang Ahli Parlimen PKR sendiri yang secara terbuka menyatakan ketidaksetujuan mereka.
Sikap Perdana Menteri yang terlalu akomodatif terhadap tuntutan Amerika Syarikat menimbulkan kebimbangan besar, kerana ia berpotensi melemahkan ekonomi negara serta menggugat kedaulatan Malaysia dalam jangka panjang.
- Kehilangan Sokongan Komuniti Cina
Komuniti Cina dan bukan Melayu kini menunjukkan penolakan hampir total terhadap kepimpinan Perdana Menteri.
Hal ini terserlah melalui keputusan PRN Sabah baru-baru ini, di mana semua calon DAP tewas sepenuhnya. PKR pula hanya memenangi satu kerusi, itu pun melalui calon “import” daripada GRS.
Perkembangan ini memberikan isyarat yang sangat jelas bahawa sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap Perdana Menteri semakin merosot dengan ketara.
UMNO bakal senasib seperti DAP jika terus berada dalam Kerajaan Perpaduan.
- Gagal Menjaga Kepentingan Bumiputera dalam Rundingan Amerika Syarikat – Trump
Perjanjian perdagangan yang melibatkan Amerika Syarikat jelas tidak menyediakan mekanisme perlindungan yang mencukupi bagi menjamin kepentingan Bumiputera.
Lebih meresahkan, melalui perjanjian tersebut, syarikat-syarikat berstatus Bumiputera secara automatik hilang keistimewaan dan keutamaan yang selama ini menjadi tonggak penyertaan ekonomi mereka.
Ini bakal melemahkan kedudukan Bumiputera dalam sektor ekonomi strategik, malah mengancam keseimbangan pembangunan nasional dalam jangka panjang.
- Menggadai Kepentingan Geopolitik Malaysia akibat Kecondongan Berlebihan terhadap Amerika Syarikat
Terma perjanjian yang berat sebelah serta mewajibkan Malaysia mengikut dasar luar dan perdagangan Amerika Syarikat menjadikan negara kita secara automatik terikat kepada kehendak Washington.
Ini secara langsung menjejaskan dasar luar Malaysia yang selama puluhan tahun berpaksikan prinsip tidak berpihak (non-alignment), satu dasar yang terbukti berjaya mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa-kuasa besar dunia.
Dasar luar baharu yang jelas memihak ini telah menimbulkan kekeliruan, keresahan dan kemarahan China, iaitu rakan ekonomi utama Malaysia serta kuasa besar yang sedang meningkat pesat.
Kegagalan kerajaan mengekalkan keseimbangan geopolitik serantau ini berpotensi memberi kesan buruk terhadap perdagangan, aliran pelaburan, serta keselamatan jangka panjang negara.
- Pendekatan Rundingan MA63 yang Lemah dan Mengabaikan Kepentingan Persekutuan
Dalam isu MA63, kerajaan di bawah Anwar dilihat terlalu lemah sehingga gagal mempertahankan prinsip asas Persekutuan.
Kelemahan tersebut turut jelas dalam isu Petronas–Petros dan pengurusan hasil minyak Sarawak, apabila kerajaan tidak cukup tegas mempertahankan kedudukan Petronas sebagai syarikat minyak nasional.
- Risiko Kekalahan Teruk BN–UMNO dalam PRU16 Jika Terus Bersama Kerajaan Perpaduan
Corak keputusan pilihan raya kebelakangan ini sangat membimbangkan:
UMNO kalah semua kerusi di Kedah dan Terengganu pada PRN 2023.
Hanya menang 1 kerusi di Kelantan dan 2 kerusi di Selangor.
Di PRU DUN Sabah 2025, UMNO tinggal 6 kerusi sahaja.
Data ini menunjukkan UMNO bukan sahaja kehilangan sokongan Melayu, tetapi turut terpalit dengan kejatuhan populariti PH.
- PRN Melaka dan Johor Akan Menyusul — Risiko Kalah Jika Terus Bersama PH
PH kini berada pada tahap paling tidak popular.
Sekiranya UMNO terus bersekutu dengan kepimpinan Anwar, risiko kekalahan BN di Melaka dan Johor semakin besar.
Kita tidak boleh mengabaikan isyarat jelas daripada rakyat yang semakin menjauhi kerajaan sedia ada.
- Campur Tangan Institusi Kehakiman dan Salah Guna Kuasa
Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja gagal dalam agenda reformasi undang-undang, tetapi turut didakwa menggunakan badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan sebagai alat politik.
Pelantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) turut menimbulkan kebimbangan, sebagaimana dititah dan ditegur oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
SPRM pula dilihat melindungi sekutu Perdana Menteri tetapi mengambil tindakan keras terhadap musuh politiknya.
Tangkapan ala pengganas terhadap Albert Tei, seorang pemberi maklumat yang ditahan selepas mendedahkan video salah laku rasuah serta mengaitkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, mengukuhkan persepsi bahawa badan penguatkuasaan tidak lagi bebas.
- Dasar Kerajaan Anwar Bercanggah dengan Perlembagaan UMNO
Fasal 3.1 : Mempertahankan Kemerdekaan dan Kedaulatan Negara
Perjanjian yang mengikat Malaysia kepada dasar luar AS bercanggah dengan asas perjuangan UMNO.
Fasal 3.4 : Memajukan Ekonomi Melayu dan Bumiputera
Penghapusan keistimewaan syarikat Bumiputera melanggar tanggungjawab UMNO mempertahankan ekonomi Melayu serta Bumiputera.
Kesimpulan & Saranan
Datuk Seri Anwar Ibrahim kini adalah liabiliti politik kepada UMNO, Barisan Nasional dan negara.
Meletakkan masa depan parti kepada seorang Perdana Menteri yang sudah hilang sokongan rakyat amat merugikan UMNO.
Lebih penting, dasar-dasar kerajaan yang dipimpin beliau bercanggah dengan Perlembagaan UMNO Fasal 3.
Saya merayu agar UMNO dan BN menarik balik sokongan serta keluar daripada Kerajaan Perpaduan dalam kadar segera.
Langkah ini penting untuk mengembalikan keyakinan pengundi Melayu menjelang PRU16.
Sekian,
Dato’ Mohd Zaid bin Ibrahim
Ahli UMNO
Cawangan Bukit Damansara
Selasa | 2 Disember 2025
Leave a Reply