Desakan DAP agar kerajaan mengiktiraf Sijil UEC nampaknya langsung tidak mendapat pertimbangan daripada Perdana Menteri.
Tanpa menyebut nama DAP secara khusus, Anwar Ibrahim dengan tegas menolak tuntutan tersebut dengan alasan ia bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Saya dah jelaskan, saya tak peduli siapa dia, parti mana, pengaruh mana.
“Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip perlembagaan.
“Apa yang berbeza? Perbezaannya ialah tuntutan itu, tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa.
“Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dulu mesej pertahankan martabat bahasa kebangsaan,” tegas beliau.
Selepas dapat “telur ayam” dalam PRN Sabah, selain mendesak kerajaan agar mengiktiraf UEC, DAP juga kembali lantang menuntut penghapusan SOSMA.
Selain itu, Lim Guan Eng juga kemudian tampil mengemukakan 10 perkara yang boleh digambarkan sebagai tuntutan untuk dilaksanakan oleh Perdana Menteri bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada PH.
Melihat kepada senarai 10 perkara itu, adalah jelas bahawa ia bukan perkara yang mudah untuk ditunaikan oleh Perdana Menteri.
Besar kemungkinan, sebahagian besar daripadanya, kalau pun tidak semua, akan menerima nasib yang sama seperti UEC.
Dengan itu, jika kata dua Anthony Loke yang mahu reformasi lebih bermakna dilaksanakan dalam tempoh enam bulan akan datang adalah merangkumi 10 perkara itu, DAP mulai sekarang sudah boleh bersiap sedia untuk meninggalkan semua jawatan mereka dalam kerajaan.
Jika hanya sekelumit kecil permintaan mereka yang akhirnya dapat ditunaikan kerajaan selepas tempoh kata dua enam bulan berakhir, secara mudahnya DAP akan dianggap gagal dalam tuntutan mereka.
Ia akan memperlihatkan keberadaan DAP dalam kerajaan selama ini tidak memberi sebarang makna, sebaliknya dengan jawatan dan kuasa, parti itu secara beransur-ansur hanya menjadi seperti MCA di mata pengundi Cina.
Maka, pilihan yang ada pada bulan Mei tahun depan iaitu bila tempoh enam berakhir ialah dengan DAP melepaskan semua jawatan dalam kerajaan agar mereka tidak terkait lagi dengan sebarang keputusan oleh kerajaan.
Selepas melepaskan semua jawatan dalam kerajaan, DAP seterusnya tidak harus lagi bertanding menggunakan logo PH pada PRU16 akan datang.
DAP mesti menggunakan logo Roket yang menjadi kebanggaan mereka, meskipun masih berada dalam PH.
Jika menggunakan logo PH, mereka berpotensi kehilangan banyak kerusi Parlimen berbanding 40 kerusi yang dimenangi sekarang ini.
Dalam PRN Sabah baru-baru ini, selain disebabkan sentimen menolak kerajaan pusat yang kian membengkak, faktor DAP menggunakan logo PH juga diperkatakan sebagai punca kekalahan dengan “telur ayam” itu.
Selepas UEC ditolak, penghapusan SOSMA pun hampir pasti ditolak dan jika 10 tuntutan Guan Eng atau sebahagian besar daripada turut ditolak, bermakna logo PH semakin tiada seri lagi di kalangan pengundi Cina.
Hanya dengan kembali kepada logo Roket, peluang untuk mendapat kembali sokongan yang hilang itu barangkali ada cahayanya. – ShahbudinHusin 13Disember2025.
Leave a Reply