Semalam, Perdana Menteri menyifatkan tindakan Presiden Upko, Ewon Benedick meletakkan jawatan menteri sebagai keputusan terburu-buru.
Ini kerana menurut Anwar Ibrahim, kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada mahu merayu atau tidak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai isu pemulangan 40 peratus hasil negeri Sabah.
“Ewon sepatutnya meneliti perkara itu terlebih dahulu.
“Sebagai pemimpin, kita tak boleh terburu-buru. Kita kena dengar dulu dan mesti tahu juga perlembagaan serta proses yang mesti dilalui,” ujarnya.
Katanya lagi, kabinet akan memutuskan hari ini sama ada untuk membuat rayuan atau tidak terhadap keputusan mahkamah itu.
Serentak itu, Anwar juga berkata, beliau secara peribadi lebih cenderung agar kerajaan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Adakah Ewon terburu-buru?
Meskipun dengan kenyataan Anwar itu, selain Ewon tetap tidak berganjak daripada keputusan meletakkan jawatan, ketetapan mesyuarat Upko petang semalam turut memutuskan untuk parti itu keluar meninggalkan PH secara serta merta.
Bermakna, PH kini bukan saja kehilangan satu anggota komponennya, bahkan PH Sabah yang sedang berdepan PRN Negeri, 29 November depan juga kehilangan penerajunya.
Ia berikutan Ewon yang merupakan Ahli Parlimen Penampang dan Adun Kadamaian adalah Pengerusi PH Sabah ketika ini.
Berdasarkan tindakan Ewon meletakkan jawatan dan kemudian membawa Upko yang diterajuinya keluar PH, ia sebenarnya bukanlah keputusan terburu-buru.
Sebaliknya kerana beliau meletakkan jawatan itulah yang membuatkan Anwar bersuara berkenaan pandangan peribadinya serta segera menentukan sama ada kerajaan mahu merayu atau tidak keputusan mahkamah itu diputuskan oleh mesyuarat kabinet pada hari ini.
Jika Ewon tidak meletakkan jawatan, mungkin sampai sekarang tiada apa-apa respon daripada kerajaan berhubung keputusan mahkamah berkaitan 40 peratus hasil Sabah itu.
Hakikatnya, tindakan Ewon meletakkan jawatan telah memberi kesan yang besar kepada isu pemulangan 40 peratus hasil Sabah itu.
Keputusan Upko keluar PH pula pasti mendatangkan kesan yang lebih besar lagi.
Bermakna, jika kabinet hari ini memutuskan untuk merayu dan mengabaikan pandangan peribadi Anwar supaya rayuan tidak dilakukan, risiko lebih besar bakal menimpa parti-parti Semenanjung dalam PRN Sabah nanti.
Dalam hal ini, dengan keputusan Upko keluar PH, peluang parti itu memenangi lebih banyak kerusi pada 29 November depan adalah amat cerah.
Upko sebelum ini dilaporkan mahu bertanding lima kerusi Dun, tetapi selepas kedudukannya yang bebas daripada PH sekarang, besar kemungkinan mereka akan bertanding lebih banyak kerusi lagi.
Kalau pun lima kerusi ditandingi, jangan terkejut jika Upko mampu menang kesemua kerusi ditandinginya.
Di mata pengundi Sabah, Ewon dan Upko dengan slogan “Sabah First” adalah hero yang dinanti-nantikan. – ShahbudinHusin 11November2025.
Leave a Reply