Semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara bersetuju untuk menghentikan kemelut dalaman parti itu.
Langkah itu didiambil demi mengukuhkan perpaduan dalam parti dan untuk memastikan kekuatan dipelihara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan malam tadi yang melibatkan kehadiran hampir semua kepimpinan tertinggi parti.
“Kita menghadapi sedikit sebanyak masalah, tetapi hari ini semua bersepakat supaya kita mencari jalan seberapa segera yang mungkin untuk kembali bertaut sebagai satu jamaah yang cukup padu dan kuat,” katanya selepas mesyuarat khas itu.
Menurut Muhyiddin lagi, MPT Bersatu juga sepakat bahawa sebarang isu atau pertikaian berbangkit sebelum ini perlu segera dihentikan bagi memastikan tumpuan parti kekal kepada kebajikan rakyat serta persiapan menghadapi pilihan raya.
“Kami sedar perkara ini perlu diberhentikan. Tidak ada lagi apa-apa yang harus dibangkitkan,” tegas beliau.
Sesungguhnya dengan keputusan ini ia adalah langkah bijak dan tepat yang menyerlahkan Bersatu adalah sebuah parti yang matang serta dibarisi oleh pemimpin yang berjiwa besar.
Setelah berdepan sedikit keributan, mereka akhirnya sedar untuk kembali ke pangkal jalan bagi memberi tumpuan kepada rakyat dan persiapan menghadapi PRN Sabah, beberapa PRN negeri selepas itu dan akhirnya PRU16.
Untuk beroleh keputusan yang lebih baik daripada pencapaian 74 kerusi Parlimen pada PRU15 yang lepas, terus berbalah dan berkelahi bukanlah jawapannya.
Berkaitan hal ini, tidak dapat dinafikan keputusan untuk menghentikan segala kemelut yang berlaku sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat khas malam tadi adalah kesan daripada surat yang dihantar dan ditandatangani oleh 16 Ahli Parlimen Bersatu kepada pucuk pimpinan parti itu.
Dalam surat itu, kumpulan 16 Ahli Parlimen berkenaan meluahkan rasa tidak setuju dengan beberapa tindakan disiplin kepada Ahli MPT, selain menyeru agar usaha pengukuhan parti lebih diutamakan bagi menghadapi cabaran mendatang.
Dengan ketetapan mesyuarat khas itu, adalah diharapkan Bersatu kembali berpadu sebagai satu pasukan yang diyakini untuk melakukan perubahan dalam PRU16 akan datang.
Kepada mereka yang telah diambil tindakan disiplin sebelum ini, biarlah kes mereka diselesaikan melalui Lembaga Rayuan yang kini diketuai oleh bekas Speaker Parlimen, Azkar Azizan Harun untuk memuktamadkannya.
Selain Azhar Azizan atau Art Harun, anggota Lembaga Rayuan lain yang dilantik dalam mesyuarat khas malam tadi ialah bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin, Ahli MPT Redzuan Yusof, bekas menteri Abdul Latiff Ahmad dan Fahimee Ismail.
Diharapkan Lembaga Rayuan dapat meneliti dengan adil rayuan semua yang dikemukakan.
Berdasarkan momentum sokongan di bawah yang agak baik kepada blok pembangkang, di samping satu demi satu isu melibatkan kerajaan yang membuatkan rakyat semakin rimas, malah marah, jawapan yang mutlak ialah undi rakyat ketika pilihan raya.
Atas sebab itu, Bersatu sebagai komponen penting dalam PN, tidak harus melakukan sesuatu yang membuatkan mood rakyat jadi terganggu.
Walaupun sebuah lagi parti iaitu PAS dilihat kekal kukuh dan mantap dengan tiada sebarang isu perbalahan dalaman, namun kedudukan PN akan menjadi lebih berwibawa sebagai kerajaan menanti jika Bersatu juga tidak terpalit dengan sebarang isu.
Untuk beroleh kemenangan, paling utama ialah memastikan tiada lagi kegelapan di hujung terowong. – ShahbudinHusin 05November2025.
Leave a Reply