Sehari sebelum kedatangan Anwar Ibrahim ke Sabah untuk majlis pengumuman calon PKR pada malam ini, seorang menteri kabinet kerajaan madani membuat kejutan meletakkan jawatan.
Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, malam tadi mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota kabinet kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu hak 40 peratus hasil Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, beliau meletakkan jawatan kerana berpegang teguh kepada prinsip dan matlamat penubuhan partinya yang memperjuangkan pelaksanaan MA63 serta hak-hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam kabinet persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden Upko,” katanya dalam kenyataan media.
Ewon seterusnya berkata, beliau akan mengutus surat kepada Anwar berkaitan perletakan jawatannya itu.
Perletakan jawatan Ewon dilihat amat menarik dan mencetuskan pelbagai tanda tanya menjelang tarikh pengundian PRN Sabah pada 29 November depan kerana kedudukannya sebagai Presiden Upko, salah satu komponen dalam PH, selain beliau juga adalah Pengerusi PH Sabah.
Upko sebelum ini turut mengumumkan akan bertanding menggunakan logo sendiri, bukan logo PH, pada PRN Sabah kali ini.
Parti itu juga memperkenalkan slogan perjuangan “Sabah First” sebagai menyusuli langkah beberapa parti tempatan sebelum ini membawa obor aspirasi “Sabah For Sabahan” sebagai simbol memperjuangkan kepentingan rakyat negeri itu.
Dengan perletakan jawatan Ewon berhubung isu 40 peratus hasil Sabah, gelombang “Sabah First” dan “Sabah For Sabahan” dijangka lebih bersemarak lagi sewaktu tempoh kempen nanti.
Sehingga hari pengundian pada 29 November depan, sentimen itu diangka memenuhi sentimen kempen, terutamanya oleh parti-parti tempatan.
Dalam hal ini, selepas membuat kejutan dengan meletakkan jawatan menterinya, Ewon selaku Presiden Upko dirasakan tidak mustahil akan membuat kejutan kedua dengan membawa parti itu keluar daripada PH pula.
Logiknya, jika Ewon merasakan agak janggal bagi beliau berada dalam kabinet kerana isu 40 peratus hasil Sabah, parti Upko yang dipimpinnya juga tidak sesuai lagi berada dalam PH.
Kiranya itu berlaku, dijangkakan bukan saja PH akan berdepan cabaran getir dalam PRN Sabah kali ini, tetapi juga parti lain yang ada ibu pejabat di Kuala Lumpur serta parti-parti tempatan yang ada kaitan dan kerjasama dengan parti-parti daripada Semenanjung.
Akhirnya, paling menarik untuk dinanti ialah berjayakah gaya politik Sarawak di mana parti-parti tempatan berkuasa sepenuhnya mentadbir negeri dan mampu melakukan tawar-menawar dengan kerajaan Pusat untuk menjelma pula di Sabah selepas PRN ke-17 kali ini? – ShahbudinHusin 09November2025.
Leave a Reply