Saya diminta media untuk mengulas kontroversi baru bersabit lantikan Tan Sri Teriruddin oleh Perdana Menteri menjadi anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Jarang berlaku apabila Tuanku Sultan membuat kenyataan umum mengenai pelantikan atau perjalanan pentadbiran kerajaan.
Kenyataan umum Tuanku Yamtuan Negeri Sembilan itu tidak boleh dipandang ringan, dan walaupun Dato’ Seri Anwar mungkin berharap isu ini reda begitu sahaja, ia menyentuh hati satu segmen penting dalam masyarakat — khususnya dalam kalangan penyokong PH/PKR.
Mereka yang sangat mengambil berat tentang kebebasan kehakiman adalah penyokong teras PH/PKR, terutamanya dalam kalangan kelas menengah.
Lagipun, pengamal undang-undang merupakan antara penyokong terawal reformasi kerana kebimbangan mereka terhadap tindakan pihak berkuasa dan badan kehakiman ketika itu.
Maka, sudah tentu sebahagian masyarakat kini mentafsirkan pelantikan Tan Sri Terirudin secara tidak langsung mengesahkan wujudnya perancangan awal untuk melantik beliau ke jawatan tertinggi badan kehakiman, seperti yang didakwa pada Jun tahun ini.
Sentimen awam seperti ini, yang terbentuk secara perlahan-lahan dari masa ke masa, akan menghakis kredibiliti reformis kerajaan — pada ketika kredibiliti reformis ini merupakan faktor paling penting sekiranya PH/PKR mahu dipilih semula untuk penggal kedua.
Kebimbangan terbesar saya ialah dakwaan yang terkandung dalam minit JAC yang bocor masih belum disiasat sehingga hari ini.
Ini mewujudkan situasi double jeopardy bagi kerajaan.
Bukan sahaja persoalan mengenai kredibiliti Tan Sri Teriruddin akan terus berlegar, malah dengan pelantikan beliau ke dalam JAC ini, ia memberikan gambaran bahawa Perdana Menteri bertekad untuk meneruskan langkah meletakkan Tan Sri Teriruddin ke jawatan penting badan kehakiman, walaupun dakwaan berhubung Tan Sri Teriruddin belum diselesaikan.
RAFIZI RAMLI
Leave a Reply