Kerajaan pusat semalam nemutuskan tidak akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah ke atas 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri itu.
Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan persekutuan menghormati prinsip “pemberian khas” di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan telah bersetuju untuk meneruskan rundingan dengan kerajaan Sabah dengan serta-merta.
“Oleh itu, kerajaan persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus kutipan hasil.
“Sehubungan itu, kerajaan persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah dengan kadar segera,” kata kenyataan itu lagi.
Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat khas kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim petang semalam untuk membincangkan keputusan mahkamah dalam semakan kehakiman yang difailkan Sabah Law Society (SLS) terhadap kerajaan.
Kenapa kerajaan membuat keputusan tersebut dengan agak pantas, sedangkan ramai pemimpin Sabah, termasuk Ketua Menteri, Hajiji Noor sejak minggu lepas lagi telah mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan pusat tidak merayu terhadap keputusan mahkamah itu?
Kenapa selama ini kerajaan pusat, termasuk Anwar sendiri tidak memberi sebarang respon?
Respon Anwar sebaliknya hanya kedengaran setelah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick mengumumkan perletakan jawatan kerana tidak setuju dengan pendirian AGC dalam pembelaan kes pemulangan 40 peratus hasil Sabah itu.
Ewon berkata, pembelaan dan pandangan AGC dalam
penghakiman bertulis kes tersebut antaranya ialah mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia, sepertimana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas Perlembagaan.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut, ini kerana AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan,” tambah beliau.
Menurut Presiden Upko itu, secara prinsipnya, sepertimana tertulis dalam Perlembagaan Upko, perjuangan parti itu ialah untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Setelah mengumumkan perletakan jawatannya, Anwar dua hari lalu berkata, Ewon agak terburu-buru dalam keputusannya meletakkan jawatan itu.
Ini kerana katanya, kerajaan belum membuat keputusan sama ada mahu merayu atau tidak terbadap keputusan mahkamah itu.
Pun begitu, tambah Anwar, beliau secara peribadi lebih bersetuju kes tersebut tidak dirayu.
Meskipun dengan kenyataan Anwar itu, selain Ewon kekal dengan keputusan meletakkan jawatan, pimpinan Upko juga kemudiannya memutuskan membawa keluar parti itu meninggalkan PH.
Soalnya, kenapa sejak keputusan mahkamah itu, tiada apa-apa respon kedengaran daripada kerajaan pusat?
Mengapa respon hanya kedengaran setelah Ewon meletakkan jawatan?
Jika tanpa Ewon meletakkan jawatan dan tidak membawa keluar Upko meninggalkan PH, mungkinkah keputusan kerajaan sepertimana diputuskan semalam itu terpacul menjadi kenyataan?
Atau jika tanpa Ewon meletak jawatan dan tanpa Upko memutuskan keluar daripada PH, kerajaan pusat sebenarnya lebih cenderung untuk kekal dengan pendirian popular bahawa hasil dikutip daripada Sabah hanya RM10 bilion tetapi sumbangan kerajaan pusat kepada negeri itu berjumlah RM17 bilion sebagaimana jawapan Anwar ketika diterjah rakyat Sabah di Pasar Tamu Jalan Gaya, Sabtu lalu?
Realitinya, keberanian Ewon dan Upko “membakar diri” menjelang PRN Sabah adalah pemangkin utama yang mendorong keputusan kerajaan pusat itu.
Tetapi, isu pemulangan 40 peratus hasil Sabah ini belum lagi boleh dianggap selesai dengan keputusan AGC tidak merayu itu.
Ia masih memerlukan pihak yang mentadbir Sabah selepas PRN, 29 November adalah parti yang betul-betul ikhlas dan kekal berani bersuara memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah. – ShahbudinHusin 12November2025.
Leave a Reply