Berikutan pemecatan Wan Saiful Wan Jan dan empat Ketua Bahagian serta penggantungan Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal daripada Bersatu, ramai yang melihat parti itu kini dilanda masalah dan menuju perpecahan.
Lalu, ditafsifkan Bersatu mula lemah, kian hilang sokongan dan dirasakan tidak mampu memenangi banyak kerusi pada PRU16 akan datang.
Tafsiran sedemikian mungkin ada kebenarannya, tetapi jangan lupa, tindakan mengenepikan pemimpin tertentu daripada mana-mana parti adalah perkara biasa.
PAS pernah mengenepikan kelompok pemimpin yang kini menubuhkan Amanah, UMNO biasa memecat dan menggantung beberapa pemimpinnya dan PKR sendiri, baru-baru ini mengenepikan Rafizi Ramli dan kumpulannya melalui “projek kerat” yang tersusun dan begitu sistematik.
Walaupun bentuk tindakan berbeza-berbeza, tujuannya adalah sama.
Yang penting ialah bagaimana parti-parti itu melakukan proses pemulihan selepas berlakunya penyingkiran.
Begitu juga dengan Bersatu, mereka pasti tidak berdiam diri begitu saja.
Sebagaimana parti-parti lain berjaya memulihkan luka-luka yang memedihkan itu, Bersatu juga diyakini mampu melakukan proses penyembuhannya.
Buat sementara ini, tidak dinafikan bahawa kedudukan Bersatu agak terumbang-ambing di mata rakyat.
Tentu saja ramai yang mula sangsi dan kurang yakin kepada parti itu untuk diberikan undi dan sokongan pada PRU16 akan datang.
Namun demikian, rasa sangsi dan ragu itu diyakini tidak mengurangkan sokongan kepada PN.
Ini kerana, bagi mereka yang ada keraguan kepada Bersatu, mereka masih ada PAS sebagai pilihan demi memastikan hasrat melakukan perubahan pada PRU16 tetap menjadi kenyataan.
Untuk pengundi atas pagar, khususnya pengundi Melayu yang selama ini menyokong blok pembangkang, untuk mereka beralih kepada PKR, Amanah atau UMNO berikutan apa yang berlaku dalam Bersatu sekarang, barangkali jauh panggang daripada api.
Ertinya, kira-kira 70 pengundi Melayu yang menyokong PN pada PRU15 lepas, mereka akan kekal tidak berubah pendirian.
Realitinya, ada isu lebih besar yang menjadi pertimbangan pengundi pada PRU16 nanti meskipun kedudukan Bersatu dilihat berantakan ketika ini.
Isu paling besar pada PRU akan datang ialah berkaitan kuasa Melayu dan adanya sejumlah menteri (tak payahlah disebut nama) yang rakyat langsung tidak berselera terhadap mereka, namun diyakini akan terus kekal dalam kerajaan jika Anwar Ibrahim dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri.
Di sinilah PN ada kelebihan, tambahan lagi dengan berlakunya beberapa peristiwa yang mengguris hati orang Melayu yang mana perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
Lantaran itu, jika pihak kerajaan berasakan apa yang berlaku dalam Bersatu sekarang memberi kelebihan kepada mereka pada PRU akan datang, ia adalah perkiraan yang silap.
Apa yang berlaku dalam Bersatu sekarang tidak mengurangkan sokongan rakyat, khususnya pengundi Melayu kepada PN dalam menerajui perubahan kerana masih ada PAS sebagai bentengnya.
Yang mungkin terjejas sedikit hanyalah Bersatu, tetapi PN tidak rebah.
Berbekalkan empat negeri diterajuinya, Ahli Parlimen teramai dan Tun Mahathir Mohamad sebagai penasihat SG4, PAS adalah benteng yang kukuh kepada PN.
Senang cerita, apa pun yang berlaku kepada Bersatu, PN tetap merupakan ancaman terbesar kepada PH/BN. – ShahbudinHusin 16Okt2025.
Leave a Reply