Berikut adalah ketetapan MT UMNO berkaitan RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) selepas parti itu mengadakan mesyuaratnya petang semalam.
“UMNO amat prihatin terhadap keresahan rakyat berkaitan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA), justeru satu Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar telah diadakan pada 3 Oktober 2025 yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, pemaju, orang perseorangan daripada pelbagai kaum.
“Selaras dengan resolusi konvensyen, UMNO berpendirian tegas untuk menangguhkan RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang sedia ada dan tidak diteruskan untuk pembentangan di Sidang Dewan Rakyat akan datang sehingga dilakukan rombakan besar yang mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
“UMNO melantik Naib Presiden 3, YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani untuk mewakili UMNO bagi melakukan perundingan dan membawa pendirian UMNO bagi merombak dan menambah baik RUU Pembaharuan Semula Bandar demi memastikan kepentingan dan kebajikan rakyat marhaen terpelihara.”
Sebelum mesyuarat MT petang semalam, UMNO terlebih telah mengadakan Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar pada sebelah paginya.
Dalam bahasa yang mudah, ketetapan UMNO itu dengan jelas bermakna parti itu menolak RUU URA yang Menteri KPKT, Nga Kor Ming sebelum ini bertegas menyatakan ia akan dibentangkan bagi bacaan kedua, seterusnya untuk dibahas dan diundi pada sesi Parlimen yang bermula 6 Oktober ini (Isnin).
Ini adalah penolakan kali kedua oleh UMNO terhadap RUU URA di mana pada sesi Parlimen yang lepas, berikutan UMNO bersama-sama dengan blok pembangkang menolak RUU tersebut, lalu menyebabkan ia ditangguhkan.
Bagaimanapun, Nga Kor Ming selepas itu berkata, ia akan diteruskan bagi bacaan kali kedua pada sesi Parlimen bermula 6 Oktober ini dengan nilai ambang persetujuan diselaraskan kepada 80 peratus bagi semua penempatan yang ingin dibangunkan.
Dengan ketetapan UMNO semalam, jika Nga Kor Ming bertegas mahu meneruskan juga RUU tersebut, sudah pasti UMNO tidak akan mengundinya.
Apa yang UMNO mahukan ialah RUU URA itu mesti dilakukan rombakan besar-besaean dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum ia mahu diteruskan.
Dalam hal ini, kita lihat sama ada Nga Kor Ming berani atau tidak untuk meneruskan RUU tersebut bagi bacaan kali kedua atau sedia menangguhkanya bagi dilakukan rombakan yang menyeluruh terlebih dahulu.
Sudah tentu keputusan UMNO menolak RUU URA itu tidak begitu disenangi oleh DAP dan Menteri KPKT, malah mungkin oleh Perdana Menteri juga.
Jika kita lihat sebelum ini, Anwar Ibrahim begitu bertegas mempertahankan pentingnya RUU URA yang mahu dibentangkan oleh Nga Kor Ming itu diluluskan.
Kepada UMNO, tahniah dan syabas atas keberanian melontarkan pendirian yang berbeza terhadap kerajaan.
Selepas ini, semuanya terserah kepada kerajaan dan Menteri KPKT sama ada sedia melakukan rombakan atau tidak.
Kalau sedia berbuat demikian dan rombakan yang dilakukan itu mendapat persetujuan UMNO, ia mungkin tiada masalah untuk diluluskan.
Kalau ketetapan ini dikaitkan dengan perkembangan politik di Sabah menjelang PRN yang bakal tiba, walaupun UMNO mengekalkan kerjasama dengan PH dan menolak bekerjasama dengan GRS, tetapi terdapat laporan bahawa UMNO sedia untuk bekerjasama dengan Warisan.
Beberapa laman berita Sabah mendakwa sudah ada pertemuan antara Presiden UMNO, Zahid Hamidi dengan Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Apakah semua perkembangan ini, bermula dengan menolak RUU URA, disusuli apa yang berlaku di Sabah, ia memperlihatkan UMNO/BN sedang meneroka jalan untuk bertanding solo pada PRU16 akan datang untuk memudahkan ia bekerjasama dengan mana-mana parti yang memenangi lebih banyak kerusi untuk terus kekal berada dalam kerajaan? – ShahbudinHusin 04Okt2025.
Leave a Reply