Ada beberapa pengulas di media sosial – agaknya sebab nak mengampu – tidak setuju malah menolak desakan terhadap Perdana Menteri agar memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing terkait isu hidangan arak pada malam gala Tourism Malaysia, baru-baru ini.
Kata mereka, desakan itu sepatutnya ditujukan kepada Pengerusi GPS, Abang Johari Haji Openg yang mencadangkan nama Tiong sebagai menteri kepada Perdana Menteri.
Seolah-olah bagi pengulas-pengulas itu, yang salah atas keberadaan Tiong sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya ialah Abang Johari atau Abang Jo dan bukan Anwar Ibrahim.
Bahkan seolah-olah juga, oleh kerana nama Tiong dicadangkan oleh Abang Jo, Anwar tidak boleh lagi memecat atau menukarnya.
Isu yang timbul dalam isu arak ini ialah berkaitan kelakuan Tiong yang dilihat tidak sesuai sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Tetapi ia tidak bermakna Ahli Parlimen Bintulu itu tidak layak langsung sebagai menteri.
Atas kedudukannya sebagai Ahli Parlimen sudah lima penggal, barangkali bukanlah menjadi kesalahan bila Abang Jo mencadangkan namanya kepada Perdana Menteri untuk dilantik sebagai menteri.
Pun begitu, kuasa Abang Jo hanyalah terhad kepada mencadangkan nama Tiong saja, manakala penentuan portfolio kementerian adalah hak serta budi bicara Perdana Menteri.
Kalau ia pun nama Tiong dicadangkan oleh Abang Jo atas kouta GPS, Perdana Menteri tidak semestinya wajib melantik beliau sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kabinetnya.
Maksudnya, Perdana Menteri boleh melantik Tiong sebagai menteri yang menjaga portfolio lain yang mungkin tidak mendedahkannya kepada perlakuan-perlakuan yang tidak bersesuaian seperti mengadakan hidangan arak dan sebagainya.
Misalnya, beliau boleh dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas yang menjaga Nadma atau Agensi Pengurusan Bencana Alam sebagaimana ia pernah wujud ketika era Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri dahulu.
Dalam hal ini, desakan memecat Tiong itu tidak bermakna Perdana Menteria harus membuangnya terus daripada kabinet.
Beliau boleh saja dipindahkan ke kementerian lain yang tidak terdedah kepada “dunia horey horey” lantaran diketahui hobinya suka minum arak itu.
Sebagai bukan Islam, tidak menjadi kesalahan kepada Tiong untuk minum arak, tetapi jika Perdana Menteri mengetahui tentang hobinya itu, tambahan lagi video-video berkaitan bersepah-sepah di media sosial, Perdana Menteri ada tanggungjawab moral untuk mengekang atau memperlahankan hobi-hobi tidak sihat ahli kabinetnya.
Ertinya, janganlah diberi peranan menjaga portfolio pelancongan dan hal-hal berkaitan jalan-jalan, hiburan dan seumpamanya kepada sesorang pemimpin yang diketahui suka sangat berhibur di waktu malam.
Bagilah dia menjada portfolio lain seperti Nadma misalnya.
Mungkin jika ditukar kepada menjaga portfolio seperti Nadma yang lebih terdedah melihat mangsa banjir atau bencana alam, ia dapat menjadikan Tiong lebih berperanan lagi sebagai menteri.
Begitu pun, yang terbaik dalam isu ini ialah jika Perdana Menteri dapat berunding dengan Abang Jo agar memberi nama pemimpin lain untuk diletakkan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menggantikan Tiong.
Jika itu dapat dilakukan, barulah boleh dibuang terus Tiong sebagai menteri seperti mana V Sivakumar daripada DAP diketepikan Anwar daripada kabinetnya sebelum ini. – ShahbudinHusin 09Okt2025.
Leave a Reply