PAS sedia berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi mempamerkan bantahan berhubung genosid Israel terhadap rakyat Palestin, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Bagaimanapun, katanya, jika Trump tidak mahu berjumpa, PAS merancang satu perhimpunan besar-besaran sebagai tanda protes semasa Trump hadir ke sidang kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
“Kalau dia betul-betul datang mengapa tidak, kita boleh jumpa sebagai rakyat Malaysia kalau dia tak nak jumpa kita akan menunjukkan protes besar besaran.
“Kita sedang mengatur, ini merentas kaum bangsa, masyarakat di negara-negara Barat membuat satu bantahan protes besar apatahlah lagi kita ini Malaysia Madani takkan nak menyambut Trump.
“Orang yang tangannya masih berlumuran darah dakyat Palestin,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.
Sebagai pengerusi Asean, Malaysia telah mengundang presiden AS itu untuk menghadiri sidang kemuncak yang dijadualkan bulan ini.
Namun undangan tersebut menerima itu kritikan pelbagai pihak yang berpendapat Trump – penyokong kuat Israel – tidak wajar dijemput ke Malaysia.
Kerajaan bagaimanapun kekal dengan pendiriannya, dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan sidang itu akan menjadi platform diplomatik untuk terus mengangkat isu Palestin.
Pada sidang media sama, Takiyuddin turut menyentuh tentang perhimpunan yang dirancang PAS bagi membantah Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menurut ahli Parlimen Kota Bharu itu, PAS masih berharap rakan mereka dari Umno akan menyertai demonstrasi berkenaan, yang dijadual diadakan di hadapan kompleks membeli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada Ahad ini (4 Oktober).
“Jadi kita agak hairan sikit. Bagaimana rang undang-undang itu boleh dibawa ke Dewan Rakyat sedangkan Umno – yang berada dalam kabinet – tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Tapi kita harap empat hari bulan ini, ahli-ahli Parlimen Umno dan pemimpin mereka juga akan bersama dengan kita, atas satu tujuan menolak PSB ini,” katanya.
Sebelum ini, Pemuda PAS selaku penganjur “Himpunan Mega Tolak PSB” menyatakan mereka menjangkakan kehadiran 50,000 peserta.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/756702
Leave a Reply