Sekarang ini sebenarnya musim PRN Sabah dan semua orang sedang ternanti-nanti tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya tesebut.
Sudah tentu juga ketika ini ramai yang sedang melobi untuk menjadi calon.
Tiba-tiba yang dapat watikah awal sebagai calon ialah Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk kerusi Parlimen Gerik pada PRU16 yang tempoh masa ia diadakan kira-kira dua tahun lagi.
Dr Asyraf Wajdi sebelum ini pernah bertanding tiga kali – PRU13 di Tumpat, PRU14 di Pasir Puteh dan PRU15 di Gerik.
Ketiga-tiga PRU yang lepas itu beliau kalah dan untuk kali ke-4, beliau dinamakan sekali lagi bertanding di Gerik.
Harap-harapnya beliau tidak kalah lagilah kali ini.
Jika tidak, akan tercatatlah namanya dalam rekod kalah buat kali ke-4 berturut-turut – dua kali di Kelantan dan dua kali di Gerik.
Bagi kerusi Gerik, kalau kalah dua kali berturut-turut, ia tentu saja agak memalukan bagi UMNO dan Dr Asyraf sendiri.
Ini kerana Parlimen Gerik adalah kerusi selamat buat UMNO/BN sejak ia diwujudkan pada 1974 dulu lagi.
Siapa saja calon BN yang diletakkan, semuanya beroleh kemenangan, termasuk daripada Gerakan yang pernah dipertaruhkan pada PRU tahun 2008.
Selain daripada tahun PRU 2008, semua calon yang diletakkan bertanding di Gerik adalah daripada UMNO dan merupakan anak tempatan kawasan tersebut.
Hanya Dr Asyraf Wajdi yang mencipta sejarah kalah buat UMNO/BN di Gerik.
Istimewanya bila Dr Asyraf Wajdi kalah ialah ia pertama kali calon UMNO kalah dan pertama kali juga kekalahan itu diakibatkan oleh calon daripada luar Gerik iaitu Kelantan.
Ertinya, meskipun Gerik bersempadan dengan Kelantan, tetapi pengundi Gerik tidak menerima kehadiran orang Kelantan untuk dijadikan Ahli Parlimen.
Untuk PRU16, Dr Asyraf Wajdi turut mencipta sejarah sebagai calon paling awal dinamakan oleh Presiden UMNO untuk bertanding sekali lagi di Gerik.
Setakat ini, tiada sesiapa lagi dinamakan sebagai calon untuk mana-mana kerusi pada PRU16 akan datang.
Di sinilah hebatnya Dr Asywaf Wajdi, walaupun Pemuda UMNO pimpinannya pada 2018 pernah mencadangkan agar Zahid Hamidi bercuti buat sementara sebagai Presiden UMNO sehingga kes mahkamahnya selesai.
Yang lebih istimewa dan hebat lagi, dengan diumumkan Dr Asyraf Wajdi sebagai calon bagi kerusi Parlimen Gerik, maka terlepas lagilah peluang anak tempatan menjadi calon di kawasan itu.
Bagi sesetengah kalangan dalam UMNO Gerik, mungkin ada yang merasakan bila Dr Asyraf Wajdi kalah pada PRU15 lepas, maka akan terbukalah kembali peluang anak tempatan untuk bertanding bagi merampas kembali kerusi tersebut yang memang merupakan kerusi selamat bagi UMNO/BN selama ini.
Rupa-rupanya melepas lagi anak tempatan dan calon luar yang kalah dipertaruhkan sekali lagi untuk dicuba mencipta kemenangan buat Gerik. – ShahbudinHusin 14Okt2025.
Leave a Reply