Sudah lama saya tak puji Perdana Menteri, tetapi kali ini saya ingin memujinya kerana tidak gentar memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Tiong King Sing.
Dalam amaran kerasnya itu Anwar Ibrahim berkata, menghidangkan minuman keras dalam acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
“Kami telah berikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini,” tegasnya.
Sejak timbul isu arak di majlis makan malam anjuran Tourism Malaysia yang menjadi bualan masyarakat baru-baru ini, ramai yang sinis dengan mengatakan Anwar tidak mungkin berani memberi teguran, apa lagi untuk memecat menteri berkenaan, meskipun itulah desakan yang paling banyak kedengaran.
Kata mereka, Anwar ini bergantung kepada sokongan bukan Melayu, maka sudah tentu tidak berani menegur kelakuan tidak wajar mana-mana Ahli Parlimen bukan Melayu.
Tetapi ternyata jangkaan itu meleset sama sekali.
Bukan setakat teguran biasa yang diberikan, malah teguran yang keras.
Jadi, tahniahlah kepada Perdana Menteri.
Meski begitu, masih ramai yang nampaknya tak puas hati.
Mereka tetap mahukan Tiong King Sing dipecat, tambahan lagi melihatkan sikapnya yang berkeras mempertahankan hidangan arak itu dengan dalih-dalih yang nampak hanya reka-rekaan.
Malah beberapa Ahli Parlimen DAP juga didapati menyokong beliau dalam mengadakan hidangan arak ketika majlis makan malam dan pelancaran kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026 itu.
Dengan itu, kata mereka, sebagai pengajaran yang lebih meluas, memberi amaran keras saja tidak memadai.
Tiong sebaliknya perlu diberhentikan atau dinasihatkan berundur sebagai menteri, jika pun Perdana Menteri tidak mahu dilihat bertindak keras dengan memecatnya.
Saya telah menulis sebelum ini dengan menyebut bahawa jika Tiong terus dikekalkan lagi sebagai menteri, alamatnya bala besar bakal menimpa kepada kerajaan madani ini.
Bala besar itu tidak lain ialah kehilangan sokongan rakyat yang lebih ketara yang akhirnya mungkin membawa kepada kekalahan dalam pilihan raya.
Maka itu, saya sependirian dengan ramai yang lain yang mahukan Tiong digugurkan atau dinasihatkan meletak jawatan.
Ertinya, amaran keras saja tidak memadai, tapi mesti disusuli dengan ketiadaannya lagi dalam kabinet madani.
Jika itu berlaku, selepas ini saya tidak akan teragak-agak untuk memberi pujian sekali lagi kepada Perdana Menteri.
Tapi kalau Tiong masih kekal lagi dalam kabinet, tiadalah apa-apa pujian dapat diberikan. – ShahbudinHusin 07Okt2025.
Leave a Reply