Ketika berlangsung Muktamar Agung PAS di Kedah September lalu di mana ketika itu wujud gelombang mahukan PAS mengetuai PN dan calon PM juga daripada parti tersebut, Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan segera diputuskan selepas ini.
Secara lebih spesefik, Muhyiddin selaku Pengerusi PN berkata, perkara itu akan diputuskan minggu depan.
Tarikh Muhyiddin berkata demikian ialah pada 15 September.
Ditemui di selepas perasmian Muktamar PAS di Alor Setar, Muhyiddin nenegaskan, PN akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan calon Perdana Menteri (PM) selain usul yang mahukan PAS memimpin gabungan itu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, PAS sebagai komponen terbesar dalam gabungan itu berhak mencalonkan nama yang difikirkan sesuai menjadi PM11.
“Perkara ini adalah hak PAS untuk mencalonkan sesiapa, baik sebagai Pengerusi PN mahupun calon Perdana Menteri.
βDan mereka sudah suarakan pandangan itu di muktamar ini manakala Bersatu pula pada Perhimpunan Agung lalu.
“Apa yang penting, kita akan panggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN dalam minggu hadapan untuk membincangkan perkara ini sebelum diputuskan,” katanya dipetik sebagai berkata selepas menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-71 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini.

Masalahnya sekarang sudah nak habis bulan Oktober, kenapa masih tak kedengaran lagi PN mengadakan mesyuaratnya?
Bila lagi mahu diputuskan secara muktamad calon PM11 bagi PN sebagaimana dinyatakan Muhyiddin sebelum ini?
Memandangkan kebelakangan ini kemelut dalam Bersatu makin berlarutan dan kedudukan Muhyiddin sebagai calon PM11 hanya sah di peringkat Bersatu, tetapi masih tidak menentu di peringkat PN, barangkali wujud keperluan untuk segera dipanggil mesyuarat sebagaimana dijanjikan itu.
Selagi tidak diadakan mesyuarat PN untuk memutuskan perkara itu, selagi itulah ketidaktentuan terus berlarutan dan menimbulkan pelbagai persepi yang tidak sihat kepada blok pembangkang.
Apa kata juga, kiranya pihak Muhyiddin terus berdiam diri pada minggu-minggu seterusnya, maka PAS sendiri yang tampil mendesak diadakan mesyuarat PN itu.
Meskipun PAS selepas muktamar baru-baru ini diketahui berpendirian biarlah calon PM11 diputuskan setelah PN mencapai kemenangan pada PRU16, namun dengan pergolakan yang tiba-tiba meletus dalam Bersatu kebelakangan ini, ternampak ada kewajaran untuk PAS mengubah fikirannya.
Sebagai parti terbesar dan terkuat dalam PN, PAS mampu berbuat sesuatu untuk menjernihkan keadaan.
Yang penting, kedudukan PN perlu diselamatkan dan mesti dipastikan mampu menerajui kerajaan baharu walaupun Bersatu terus berantakan. – ShahbudinHusin 26Okt2025.
Leave a Reply