Dalam beberapa komen di sejumlah laman media sosial, didapati ramai yang membangkitkan berkenaan belanjawan alternatif daripada blok pembangkang.
Mana belanjawan alternatif PN?
Kenapa PN tidak berani membentangkan belanjawan alternatif sebagaimana PH melakukannya sebelum ini?
Apakah PN tiada idea, maka sebab itu tidak mampu membentangkan belanjawan alternatif?
Jangan asyik tahu kritik dan hentam belanjawan kerajaan saja, buatlah belanjawan alternatif?
Demikianlah antara suara yang dibangkitkan oleh para penyokong kerajaan bila terdapat ada yang mempertikaikan perkara-perkara tertentu dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan semalam?
Perlukah belanjawan alternatif dibentangkan?
Belanjawan alternatif biasanya dibentangkan sehari belum belanjawan kerajaan dibentangkan untuk memperlihatkan blok pembangkang juga ada idea untuk mengurus ekonomi negara.
Belanjawan alternatif adalah belanjawan yang dibentangkan tanpa tanggungjawab, tanpa kuasa dan ketika tiada wang dalam poket untuk menjanjikan membina itu dan ini.
Dengan itu, ia boleh saja dibuat semahunya asalkan sedap didengar, cantik dipandang dan mampu merangsang naluri berahi para penyokong untuk ghairah berkuasa.
Tetapi, selepas belanjawan kerajaan dibentangkan, orang tidak lagi bercakap tentang belanjawan alternatif itu.
Ertinya, seburuk mana pun belanjawan kerajaan, ia tidak palsu, bukan fake news dan terus diperbualkan kerana lantaran ia bukan kepalsuan macam ada berlaku kepada maklumat sijil kelahiran yang boleh dipalsukan.
Ini kerana yang menyediakan belanjawan kerajaan adalah kakitangan kerajaan yang bertanggungjawab mengurus perjalanan kerajaan berdasarkan kedudukan kewangan negara, beban hutang, prestasi ekonomi dan macam-macam hal ini.
Pendek cerita, belanjawan alternatif hanya sembang kosong yang dirangka ketika tiada kuasa dan tidak difahami sedalam-dalamnya fakta sebenar berkaitan ekonomi negara.
Sebab itu, pihak yang jadi pembangkang sebelum ini dan kerap membentangkan belanjawan alternatif, tetapi bila beroleh kuasa, tidak pun belanjawan yang dibentangkan lebih indah daripada beberapa belanjawan alternatif yang pernah dibentangkan sebelum ini.
Hakikatnya, baru disedari perbezaan semasa jadi pembangkang dengan setelah jadi kerajaan.
Dengan itu, sebenarnya tiada kewajaran langsung untuk blok pembangkang iaitu PN merangka dan membentangkan belanjawan alternatif sebagaimana pembangkang terdahulu suka melakukannya.
Jika PN ada pandangan lain, syor dan apa saja mengenai belanjawan atau berkaitan ekonomi negara, mereka boleh nelakukannya ketika sesi membahaskan belanjawan di Parlimen.
Itu lebih baik dan bertanggungjawab kerana ia dilakukan di dalam Parlimen, berbanding belanjawan alternatif yang boleh dibentangkan di mana-mana premis yang disukai.
Begitu pun, jika pembangkang sekarang ada syor atau yakin mampu merangka belanjawan yang lebih baik, mereka harus simpan dulu idea tersebut dan tunggu untuk melakukannya bila jadi kerajaan nanti.
Sabar sikit jerrr lagi, masa itu semakin hampir nak tiba!! – ShahbudinHusin 12Okt2025.
Leave a Reply