Selepas kejayaan Himpinan Turun Anwar pada 26 Julai lalu, kini satu lagi himpunan bakal menyusul.
Ini berikutan Pemuda PAS merancang untuk menggerakkan satu lagi himpunan rakyat pada 4 Oktober depan.
Meskipun tidak disebut, adalah dipercayai lokasi himpunan juga akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Himpunan 4 Oktober nanti ialah bagi membantah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang sebelum ini ditangguhkan perbahasannya.
Tarikh 4 Oktober dipilih sempena bermulanya sidang Parlimen pada 6 Oktober di mana RUU PSB dijangka akan dibahas dan diundi untuk diluluskan pada sessi kali ini.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pemilihan tarikh itu adalah sebagai mesej jelas kepada kerajaan bahawa PAS menolak RUU PSB itu.
Selain itu, himpunan 4 Oktober nanti turut diadakan sebagai solidariti terhadap nasib penduduk Kampung Sungai Baru yang diusir secara paksa daripada kediaman mereka.
Jika kita masih ingat, Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu pada asalnya ialah untuk membantah RUU PSB.
Oleh kerana sidang Parlimen ditangguhkan, maka ia ditukar menjadi Himpunan Turun Anwar.
Dalam himpunan yang dianggap sangat berjaya itu, Menteri KPKT Nga Kor Ming sendiri memaklumkan 20,000 kilogram sampah telah dibersihkan di persekitaran Dataran Merdeka sebaik usai himpunan.
Kalau sampah saja sudah 20,000 kilogram, bayangkanlah berapa jumlah manusia yang hadir ke himpunan tersebut yang mana biasanya mereka yang hadir hanya membawa sebotol air mineral dan sedikit makanan ringan saja sebagai bekalan.
Dalam hal ini, adalah dirasakan himpunan 4 Oktober nanti, walaupun tujuannya untuk membantah RUU PSB, ia tak ubah seperti Himpunan Turun Anwar 2.
Ramaikah dijangka akan hadir?
Bersama semangat Pas yang sedang meluap-luap untuk menduduki kerusi Perdana Menteri pada PRU16 akan datang, adalah dijangka himpunan 4 Oktober nanti mampu merangsang lebih ramai kehadiran.
Ahli-ahli Pas di seluruh negara tentunya tambah bersemangat untuk memeriahkan himpunan tersebut.
Kepada Pemuda PAS khususnya, mereka ada tugas berat mulai sekarang iaitu mesti pastikan kehadiran kali ini lebih besar daripada Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu dan pastikan juga sampah yang dibersihkan oleh DBKL selepas himpunan nanti lebih daripada 20,000 kilogram.
Kalau tidak, malu pada Nga Kor Ming!! – ShahbudinHusin 14Sept2025.
Leave a Reply