Sebagai parti Melayu paling berpengaruh ketika ini, kita barangkali tiada masalah untuk memahami apa juga keinginan yang dimahukan oleh PAS.
Sama ada untuk mereka mengetuai PN atau menamakan pemimpin PAS sebagai calon PM11, keinginan itu boleh dikira wajar dan munasabah.
Lagi pula, negara ini sudah ada 10 Perdana Menteri sejak merdeka, namun belum pernah seorang pun datang daripada PAS.
Parti yang lahir terkemudian daripada PAS – Bersatu dan PKR – bahkan sudah pun merasa menduduki kerusi paling berkuasa itu.
Tambahan lagi di ketika ini PAS memiliki Ahli Parlimen paling ramai sekali iaitu 43 orang.
Bersama keazaman untuk menang sehingga 80 kerusi Parlimen pada PRU16 akan datang, maka meletakkan hasrat atau menuntut untuk menduduki kerusi Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Siapa pun jika berada di tempat Pas, sudah tentu akan menuntut perkara yang sama.
Cumanya, Pas kini berada dalam gabungan PN bersama Bersatu, Gerakan dan juga MIPP.
Bersatu pula sudah memutuskan Muhyiddin Yassin sebagai calon PM11, walaupun Ahli Parlimen Pagoh itu pernah merasa jadi PM8 sebelum ini.
Kemenangan bergaya PAS sebanyak 43 kerusi pada PRU15 lalu, mahu tidak mahu, harus diakui adalah melalui kerjasamanya dengan Bersatu yang turut berjaya memenangi 31 kerusi Parlimen.
Tanpa kedua-dua parti itu bekerjasama, PAS tidak mungkin mampu menang 43 kerusi dan tidak mungkin juga membolehkan Bersatu menang 31 kerusi Parlimen.
Pendeknya, PAS dan Bersatu adalah umpama aur dan tebing yang saling memerlukan.
Dalam keazaman untuk menduduki kerusi PM11 atau mengetuai PN, pemimpin tertentu PAS tidak seharusnya terlebih ghairah seolah-olah mahu mengenepikan atau melupakan peranan Bersatu selama ini, sekaligus merasakan mereka boleh berdiri sendiri mengibar bendera kemenangan.
Memang tidak dinafikan ramai yang berharap PAS akan mengetuai kerajaan selepas ini, tetapi mereka tidak boleh tinggalkan Bersatu.
Kalau PAS dan Bersatu berpecah, rakyat akan hilang keyakinan, meski dalam keadaan mereka memang mahu mendapat kerajaan baharu.
Ia akhirnya mungkin menyebabkan ramai tidak keluar mengundi dan sudahnya cita-cita PAS untuk menduduki kerusi Perdana Menteri jadi tidak kesampaian.
Isu seperti calon PM11 atau mengetuai PN, PAS mesti bijaksana dan berhemah dalam mengemukan tuntutan itu, sebaiknya melalui perbincangan mendalam menggunakan saluran mesyuarat PN, bukan dengan cara desakan terbuka.
Kalau mahu bercakap secara terbuka mengenai isu tersebut, sikit-sikit sudahlah supaya ahli dan penyokong di bawah tidak keliru dan tidak juga berbalah.
Yang mahu dicapai ialah menang PRU16 dan kemenangan hanya boleh diperolehi melalui saling bekerjasama dan membantu antara satu sama lain.
Dalam konteks PN, untuk menang dan menubuhkan kerajaan, PAS dan Bersatu tidak boleh sama sekali berpecah. – ShahbudinHusin 16Sept2025.
Leave a Reply