Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KERAJAAN MADANI HARUS BERANI BUKA SEMULA KERTAS SIASATAN ‘VIDEO SANDAKAN’

Tiada apa-apa yang lebih menarik sebenarnya dalam sidang media Wan Saiful Wan Jan petang tadi melainkan apa yang diperkatakannya mengenai “video Sandakan” yang didakwa melibatkan Azmin Ali.

Perkara-perkara lain yang disebut Wan Saiful dalam sidang medianya seperti SD (akuan bersumpah), dirinya disiasat berkaitan disiplin, pengakuan tiada usaha mahu menjatuhkan Muhyiddin Yassin, laporan bakal dibuat kepada Lembaga Disiplin terhadap Azmin serta Tun Faisal Ismail Aziz, adanya ugutan terhadap pemimpin tertentu tidak diberi watikah calon dan sebagainya, semuanya boleh dianggap tidak penting belaka.

Yang terpaling penting hanyalah berkaitan “video Sandakan” itu.

Wan Saiful mendedahkan, hubungannya dengan Setiausaha Agung Bersatu itu sebagai “kejap panas, kejap sejuk” sejak tahun lalu lagi.

“Selepas konvensyen (Bersatu) tahun lepas, saya terima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik ke atas video intim yang dikatakan membabitkan Azmin di Sandakan mengesahkan video itu adalah tulen.

“Perkara itu mengubah pendirian saya terhadap Azmin.

“Saya nyatakan pandangan kepada beberapa orang bahawa selagi isu ‘video songsang’ ini tidak diselesaikan, Azmin tidak layak jadi pemimpin Bersatu.

“Saya berpandangan kalau ia fitnah politik, ya, kita mesti pertahan dan lawan. 

“Tetapi kalau ia isu moral yang menyimpang, maka ia tidak sesuai untuk parti seperti Bersatu.

“Parti lain mungkin boleh terima. Tetapi bukan Bersatu,” kata Wan Saiful lagi.

Berkaitan hal ini, selain Azmin sendiri perlu tampil sekali lagi membersihkan dirinya, inilah juga masanya untuk kerajaan madani membuka semula siasatan berkaitan video tersebut.

Pada tahun 2020 lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya memutuskan tidak akan mendakwa mana-mana pihak berhubung kes “video Sandakan” itu.

Tommy berkata, setelah menyemak keterangan yang dikumpulkan dan dikemukakan oleh polis kepada jabatannya, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung isu berkenaan.

“Bagaimanapun, seleras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika keterangan baru diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika itu, Azmin adalah Menteri Ekonomi di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad.

Berikutan Wan Saiful sendiri mendakwa memperolehi maklumat baharu yang mengesahkan “video Sandakan” itu sebagai tulen,  maka pihak polis harus memanggil Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu untuk diambil keterangannya.

Kerajaan madani tidak perlu gentar atau bimbang untuk membuka semula siasatan kerana perkara ini adalah isu penting yang perlu diberikan jawapan.

Jenayah songsang tidak harus dilindungi dan terus melindunginya bererti bersekongkol dengan jenayah itu.

Daripada segi moral, kerajaan madani pimpinan Anwar Ibrahim ada tanggungjawab gang tinggi untuk menoktahkan terus isu “video Sandakan” itu daripada terus menjadi teka-teki berpanjangan dengan tidak membiarkan tiada apa-apa tindakan dilakukan di era pemerintahannya. – ShahbudinHusin 29Sept2024.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x