Sebuah portal berita melaporkan, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Khairy Jamaluddin atau KJ dikatakan sudah menghantar surat rayuan kepada UMNO berhubung penggantungannya daripada parti itu.
Surat rayuan tersebut dikatakan dihantar kepada UMNO melalui pegawai bekas Menteri Kesihatan itu baru-baru ini.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau masih belum menerima surat rayuan daripada KJ itu.
“Belum, saya belum terima lagi,” kata Ahmad Zahid ringkas.
KJ yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 atas dakwaan pelanggaran disiplin.
Pada 6 Julai lalu, KJ berkata beliau sedia mempertimbangkan tawaran Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang sedia membantu memudahkannya kembali ke pangkuan parti.
Sebelum itu, Dr Akmal dilaporkan berkata, beliau sedia menjadi jambatan untuk membawa beberapa pemimpin yang digantung dan dipecat seperti KJ, Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan untuk kembali ke pangkuan UMNO.
Berkaitan hal KJ ini, kebetulan pada minggu lepas saya ada berbual panjang dengan seorang wartawan senior sebuah akhbar harian terkemuka.
Selain berbual mengenai banyak hal berkaitan pergolaka yang tidak pernah reda dalam politik negara, turut disentuh ialah berkaitan KJ.
Wartawan itu memberitahu, KJ akan diterima kembali sebagai ahli UMNO tidak lama lagi.
Katanya, ini berikutan KJ sudah sedia untuk mengemukakan surat rayuan kepada Presiden UMNO agar pemecatannya dibatalkan dan beliau diterima kembali sebagai ahli UMNO.
Tambah beliau, berdasarkan maklumat yang diterimanya, KJ telah dinasihatkan oleh rakan dan kenalan rapatnya agar tidak melengahkan lagi untuk membuat rayuan jika ingin terus “hidup” dalam politik negara.
Kata rakan dan kenalan itu, jika selepas PRU16 akan datang, KJ tidak memilih menyertai mana-mana parti dan tidak bergelar Ahli Parlimen, beliau mungkin berdepan kesukaran untuk terus maju dalam dunia politik.
Malah, dikatakan jika dalam surat rayuan itu KJ perlu memohon maaf kepada Zahid Hamidi, beliau juga harus tidak keberatan berbuat demikian.
Dalam hal ini, jika benar surat rayuan sudah dihantar, adalah tidak mustahil kes KJ itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MT UMNO yang akan datang.
Oleh kerana KJ enggan menyertai mana-mana sejak dipecat, bahkan pernah ditawarkan menyertai Bersatu menjelang PRN enam negeri pada Ogos 2023 tetapi akhirnya menolak, keputusannya sedia mengemukakan rayuan untuk kembali kepada UMNO adalah pilihan yang tepat.
Kalau Bersatu yang mirip UMNO pun ditolaknya, menyertai PAS, PKR atau DAP tentulah jauh tak sesuai dengan jiwanya.
Realitinya, hanya UMNO yang kekal serasi dengan jiwa KJ.
Lagi pula, berdasarkan barisan kepimpinan UMNO sedia ada, masa depan KJ dalam parti itu dikira masih terbuka luas jika pemecatannya dapat dibatalkan sebelum PRU16 diadakan. – ShahbudinHusin 04Sept2025.
Leave a Reply