Sejak dua hari lalu, saya ada terbaca beberapa ulasan di media sosial mengenai jumlah penurunan harga RON95 berikutan penguatkuasaan kadar baru yang bermula 30 September ini.
Mereka menulis, dengan kadar baru RM1.99 seliter yang diperkenalkan itu, rakyat bukanlah mendapat penurunan harga 6 sen berdasarkan harga pasaran RON95 sebanyak RM2.05 sen sebelum ini.
Sebaliknya, kata mereka, rakyat sebenarnya mendapat pengurangan harga sebanyak 61 sen kerana harga RON95 tanpa subsidi bermula 30 September ini adalah RM2.60 sen seliter.
61 sen bro, bukan 6 sen, tambah mereka lagi sambil mengajak rakyat agak bersyukur banyak-banyak.
Sejujurnya, untuk mengatakan rakyat mendapat penuruhan harga sebanyak 61 sen dan bukan 6 sen, ia sebenarnya adalah suatu bentuk “spin” yang berlebih-lebihan.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ll pun tidak pernah tergamak untuk menyebut penurunan sebanyak 61 sen itu.
Harus kita sedari, harga RON95 yang biasa rakyat bayar sejak bertahun-tahun sebelum ini ialah RM2.05 sen seliter, bukannya RM2.60 sen.
RM2.05 sen itu adalah harga RON95 yang telah disubsidikan.
Sebelum ini tidak ada kategori RON95 tanpa subsidi.
Petrol tanpa subsidi adalah jenis kualiti yang lebih baik iaitu RON97.
RON95 tanpa subsidi dengan harga RM2.60 sen seliter hanya diwujudkan bermula 30 September ini untuk kegunaan warga asing.
Bersekali dengan itu, bermula 30 September juga, RON95 bersubsidi dijual hanya pada kadar RM1.99 seliter untuk warganegara Malaysia dengan had 300 liter sebulan.
Bermakna, disebabkan harga yang biasa dibayar rakyat sejak bertahun-tahun untuk membeli RON95 ialah RM2.05 sen, maka apabila ia diturunkan oleh Perdana Menteri yang baik hati kepada RM1.99 sen, pengurangan duit poket yang dapat dijimatkan adalah 6 sen bagi setiap liter.
Celah mana datangnya 61 sen, sedangkan tidak pernah sesiapa pun sebelum ini pernah membeli RON95 dengan harga RM2.60 seliter?
Secara tepatnya, 61 sen sebenarnya adalah perbezaan harga RON95 bersubsidi dengan RON95 tidak bersubsidi bermula 30 September.
Dengan itu, untuk mengatakan harga minyak turun sebanyak 61 sen, ia boleh dikategorikan sebagai “fake news” kecuali jika harganya benar-benar diturunkan 61 sen iaitu daripada harga RM2.05 sen kepada RM1.44 sen seliter.
Begitu pun, sama ada turun 6 sen atau 61 sen, kita sebagai rakyat tentunya bersyukur dengan penurunan tersebut.
Cuma, kalau PMX lebih bersikap baik hati dan dapat menurunkan harga RON95 sebanyak 61 sen kepada RM1.44 sen seliter, tentunya rakyat akan jauh lebih bersyukur lagi.
Mereka yang suka-suka “spin” kononnya RON95 turun harga 61 sen dan bukan 6 sen pun dengan sendirinya terlepas daripada tanggapan menyebarkan berita palsu. – ShahbudinHusin 25Sept2025.
Leave a Reply