Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

BERSATU BERGOLAK, KEDUDUKAN PAS MELONJAK

Pergolakan yang berlaku dalam Bersatu akhir-akhir ini, tidak lama setelah parti itu meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon PM11, adalah  suatu episod yang malang sekali.

Sepatutnya, dengan calon PM11 telah dinamakan, perpaduan dalam Bersatu makin mantap dan semua orang dalam parti kian bersatu hati dalam meneroka jalan kemenangan.

Sepatutnya juga, dalam keadaan sentimen penerimaan rakyat terhadap kerajaan makin menurun, inilah masanya Bersatu mengambil kesempatan menampakkan ia sebagai alternatif yang benar-benar diyakini.

Tetapi malang sekali, pergolakan yang berlaku dalam sehari dua ini dengan sendirinya membuatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat menjadi semakin goyah jadinya.

Di mana-mana mula kedengaran orang bercakap, macam mana Bersatu nak jadi kerajaan dan menduduki kerusi Perdana Menteri kalau wujud pergolakan seperti ini.

Jika episod pergolakan ini sampai meleret lagi sehingga berlaku pula penggantungan atau pemecatan keahlian pemimpin tertentu, sudah tentulah makin merosot lagi kedudukan Bersatu di mata rakyat.

Dalam hal ini, mahu tidak mahu, kepimpinan Bersatu tidak sepatutnya berdiam diri saja melihat menyaksikan perbalahan dan serang menyerang terus berlarutan.

Inilah masanya kepimpinan Bersatu perlu menunjukkan kebijaksanaan menyelesaikan pergolakan dan  jangan biarkan api disembur dengan api untuk memadam kebakaran yang membara dalam hati.

Meski disedari pergolakan dalam Bersatu ketika ini mula menghakis kepercayaan rakyat, tetapi parti-parti yang berada dalam kerajaan sebenarnya tidak pula boleh berasa senang hati dan goyang kaki.

Hakikatnya, apa yang berlaku dalam Bersatu ini tidak akan membuatkan berlakunya pertambahan sokongan, baik kepada PKR, UMNO, Amanah dan lain-lain parti yang tidur sekelambu dalam kerajaan.

Atas pelbagai isu yang berlaku sejak hampir tiga tahun memegang kuasa, kerajaan ini tetap berada di kedudukan sukar mempertahankan kuasanya.

Mereka yang inginkan perubahan dan berhasrat menukar kerajaan dalam PRU16 akan datang, tetap tidak berubah fikiran mereka.

Dalam hal ini, yang bakal menerima sokongan melonjak ialah PAS kerana semua orang akan mula beralih sokongan asalkan hasrat menukar kerajaan dapat menjadi kenyataan.

Bukan saja penyokong Bersatu, malah pemimpinnya pun tidak mustahil akan beralih juga kepada PAS.

Selain itu, pengundi atas pagar yang tidak berparti dan  tidak memihak kepada kerajaan juga akan mengalihkan sokongan mereka kepada PAS.

Bagi mereka, dengan Bersatu bergolak, hanya PAS parti yang stabil dan boleh diyakini untuk menerajui kerajaan.

Akhirnya PAS akan mendapat untung yang berganda, manakala Bersatu bakal terlepas segala-galanya.

Pengerusi PN, calon PM11 dan kerusi PM11 yang sebenar, semuanya akan kena “tapau habis” dengan PAS. – ShahbudinHusin 30Sept2025.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x