Semasa membentangkan RMK 13 di Parlimen tempoh hari, DSAI telah menceritakan bagaimana dia telah bercakap dengan Presiden Amerika Syarikat, iaitu Donald Trump. Donald Trump telah mengucapkan terima kasih dan tahniah atas kejayaan usaha DSAI, sebagai Pengerusi ASEAN, merundingkan perdamaian di antara Thailand Dan Kampuchea.
Pada masa yang sama Donald Trump telah menyatakan keinginannya untuk hadir ke persidangan ASEAN ke 47 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Oktober ini.
Minat Presiden Amerika Syarikat terhadap Persidangan ASEAN sangat dialu-alukan dan ini sekali gus menandakan betapa pentingnya peranan ASEAN dalam rantau ini.
Parti AMANAH Negara mengalu-alukan minat dan keinginan President Amerika Syarikat bersama ASEAN.
Tiada yang boleh menafikan pengaruh dan kuasa Amerika Syarikat dalam dunia dewasa ini dan dengan kebersamaan Amerika, sudah pasti semua perancangan ASEAN akan dapat dicapai dengan mudah dan jayanya.
Namun begitu, minat dan keinginan ini dialu-alukan selagi mana ianya tidak bertujuan untuk mempengaruhi atau memaksa ASEAN ke arah hala tuju yang diinginkan oleh Amerika, demi kepentingan Amerika dan bukan kepentingan ASEAN itu sendiri.
Sepertimana yang telah menjadi semakin jelas, dasar yang dilaksanakan Amerika banyak dicorakkan oleh kepentingan Zionis Israel atas sebab ramai pimpinan politik Amerika dibiayai oleh Zionis melalui AIPAC.
Ini terbukti melalui apa yang sedang berlaku di Gaza yang walaupun jelas kezalimannya, terus disokong dan dibiayai Amerika.
Oleh itu Parti Amanah Negara ingin memesan kepada kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia, supaya sentiasa berwaspada dengan mainan politik Amerika Syarikat, termasuk Presidennya, dan jangan meletakkan nasib rantau ini dalam tangan atau di bawah kekuasaan mereka.
Pendekatan ‘non-aligned’ yang dibawa Malaysia sekian lama mesti terus diamalkan dan hubungan Malaysia dengan negara-negara lain, khususnya yang menganggotai BRICS, perlu terus dikukuhkan.
Selari dengan pendekatan non-aligned ini, persahabatan dengan semua pihak dialu-alukan, demi mengekalkan keamanan dan pembangunan bersama di rantau ini.
Namun segala usaha adu-domba serta pecah-belah dan perbalahan perlu ditentang sewajarnya.
Tidak boleh dinafikan suasana geo-politik dunia sudah mula berubah. Zaman ‘Single Super Power’ sudah juga mula berakhir.
Tiada keperluan Malaysia dan ASEAN mengiyakan apa sahaja perancangan yang dikemukakan Donald Trump.
Sudah pasti cadangan-cadangan yang dikemukakan beliau bertujuan menjaga kepentingan Amerika dan sekutu-sekutu utama Amerika, khususnya Israel.
Khalid Bin Abd Samad
Pengarah Komunikasi,
Parti Amanah Negara (AMANAH)
1 Ogos 2025
Leave a Reply