Hubungan Pemuda UMNO dan DAP kini boleh diumpama dalam keadaan retak menanti belah.
Semuanya kerana pertelingkahan berhubung isu bendera Malaysia yang dipasang terbalik di sebuah premis di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Daripada berbalas kenyataan di media, kemudian bertembung dalam sebuah demonstrasi di depan premis berkenaan Khamis lalu, ia kini melarat kepada arahan membuat laporan polis dan ugutan memutuskan hubungan.
Selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengarahkan Pemuda DAP seluruh negara membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh berkaitan demonstrasi di Kepala Batas semalam, Pemuda DAP Pulau Pinang merancakkan lagi perbalahan dengan menggesa kepimpinan parti memutuskan hubungan dengan sayap UMNO itu.
Sebagai respon, Dr Akmal menegaskan, tindakan memutuskan hubungan dengannya atau Pemuda UMNO tidak boleh dilihat secara terpisah daripada organisasi yang diwakilinya.
Maksudnya, jika putus hubungan dengan Pemuda UMNO, ia bererti putus jugalah hubungan DAP dengan UMNO.
Dalam perkembangan terbaru, Dr Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka akan memberi keterangan kepada pihak polis pada jam 11 malam ini.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk pertahankan maruah negara ini, saya rela dan akan lawan habis-habisan.
“Untuk takut kepada puak-puak mereka, tidak sama sekali. No fear, no surrender!” katanya,
Semua ini memperlihatkan pertelingkahan akan terus berpanjangan.
Pertelingkahan terbuka antara Pemuda UMNO dan DAP ini sebenarnya bukan kali pertama berlaku, ia telah beberapa kali berlaku sebelum ini.
Untuk masa-masa seterusnya, tiada jaminan ia tidak berlaku lagi selepas ini.
Meski duduk bersama di dalam sebuah rumah yang dinamakan kerajaan perpaduan, malangnya perkelahian nampaknya begitu mudah tercetus antara keduanya.
Realiti ini jika dihalusi, semua ini dengan sendirinya menggambarkan UMNO dan DAP adalah dua parti yang tidak boleh bersama secara aman.
Tidak perlu dihuraikan dengan mendalam, kedua-dua parti berkenaan memang berbeza zahir dan batin masing-masing.
Persetujuan mereka untuk bersama sebelum ini hanyalah demi kuasa dan keinginan kepada jawatan semata-mata.
Sebab itu, pergaduhan dan pertelingkahan sentiasa saja tercetus dan tidak boleh dielakkan.
Kepada sebahagian besar rakyat negara ini, bukanlah rahsia lagi bahawa ketika ini ramai yang mulai bosan serta menyampah dengan keadaan tersebut.
Mereka hari-hari bergaduh, berbalas kenyataan dan sehingga sampai membuat laporan polis sesama sendiri tetapi masih sanggup duduk bersama dalam kerajaan.
Tidakkah ini sesuatu yang pelik dan janggal?
Kalau nak terus bersama, buatlah cara nak bersama.
Kalau nak terus bergaduh dan bertelingkah, lebih baiklah UMNO dan DAP ambil keputusan putuskan saja hubungan mereka.
Ia boleh dilakukan sama ada dengan UMNO yang keluar kerajaan atau DAP meninggalkan kerajaan.
Selepas duduk berasingan nanti, teruskanlah bergaduh sampai ke hari kiamat!! – ShahbudinHusin 15Ogos2025.
Leave a Reply