Media melaporkan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan lagi untuk titah adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak diberi tahanan rumah diteruskan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi.
Jelas beliau, keputusan Mahkamah Persekutuan Rabu lalu berhubung perkara itu jelas menunjukkan titah adendum berkenaan sememangnya wujud dan kini ia hanya perlu dilaksanakan.
“Jelas sekali titah adendum itu wujud, tetapi menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan, prosiding semakan mengenainya akan didengar di Mahkamah Tinggi sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.
“Tapi bagi saya tiada keperluan lagi ia untuk dibicarakan.
“Mengapa perlu dibicarakan kerana ia telah dibuktikan wujud dan laksanakanlah.
“Kenapa susah sangat?,” soal Mohamad yang juga merupakan Menteri Luar Negeri.
Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Rembau itu , pendapat berkenaan adalah pandangan peribadi saja.
Berita penuh Tok Mat itu di sini – https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/743489
Adoiii Tok Mat…apa pulak pandangan peribadi?
Sebagai pemimpin kanan UMNO, Tok Mat tidak seharunya berselindung di sebalik pendapat peribadi jika itu merupakan isi hatinya yang sebenar.
Pemimpin tidak boleh ada dua wajah dan dua suara – satu suara rasmi dan satu lagi suara peribadi.
Jika begitu, jangan bersuara secara terbuka dan jangan bercakap mengenainya dengan media.
Kalau sudah berani meluahkannya kepada media, tidakkah bermakna ia sudah jadi pendapat rasmi?
Sebenarnya pendapat Tok Mat mengenai tiada keperluan lagi semakan kehakiman berkaitan titah adendum diteruskan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi, bukanlah perkara baru.
Sebaik keputusan Mahkamah Persekutuan Rabu lalu, podcast Zaid Ibrahim di mana saya dan Zaid ketika mengulas perkara berkenaan, lebih awal memberi pandangan sedemikian.
Kemudian beberapa pemimpin UMNO, antaranya Dr Puad Zarkashi dan peguam Najib juga berpandangan yang sama.
Ertinya pandangan yang mahu semakan kehakiman ditiadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan Rabu lepas, bukanlah pendapat yang terpencil.
Takkanlah titah Raja hendak diserahkan kepada mahkamah memutuskan sah atau tidaknya?
Cuma, dalam hal ini, apa kata sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO dan sesuai dengan pendirian parti itu sendiri yang memang memperjuangkan pembebaskan Najib, Tok Mat mengambil langkah memulakan usaha agar pendapat peribadinya itu dapat ditukar menjadi pendirian rasmi UMNO.
Apa yang perlu Tok Mat lakukan ialah segera membawa pendapatnya itu kepada 160 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara yang sebelum ini telah membuat ketetapan agar kerajaan melaksanakan titah adendum terhadap Najib itu tanpa banyak soal lagi.
Kemudian, beliau membawanya pula kepada mesyuarat MT UMNO supaya parti secara sebulat suara mendesak Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara menarik diri secara serta merta dalam prosiding semakan kehakiman yang bakal diadakan di Mahkamah Tinggi nanti.
Jika ini berani dilakukan, ia baru betul Tok Mat!!
Janganlah berselindung di sebalik pendapat peribadi jika itu suara daripada hati – pemimpin sejati tiada dua pendapat dalam dirinya. – ShahbudinHusin 15Ogos2025.
Leave a Reply