Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Aziz mengesahkan lompatannya daripada UMNO kepada PKR kini sudah disahkan secara rasmi.
Katanya, beliau sekarang adalah ahli PKR dan keahliannya telah diterima dan disahkan oleh mesyuarat MPP parti itu kira-kira dua minggu yang lepas.
Katanya lagi, beliau diterima untuk menjadi ahli PKR di cabang Ampang, Selangor.
Ada tiga berita baik berikutan tindakan Tengku Zafrul berpindah parti daripada UMNO kepada PKR.
Pertama, beliau berjaya mengurangkan jumlah Ahli MT dan Ketua Bahagian UMNO daripada jumlah sedia ada.
Selain Ahli MT UMNO, Tengku Zafrul sejak 2023 adalah juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Selangor.
Ertinya sekarang, bila Tengku Zafrul keluar UMNO dan masuk PKR, parti reformasi pimpinan Anwar Ibrahim telah berjaya mengurangkan jumlah pemimpin UMNO.
Tahniah kepada PKR.
Kedua, Tengku Zafrul juga berjaya menambahkan bilangan kerusi menteri untuk PKR.
Selepas kalah bertanding atas tiket BN dalam PRU15 pada 2022 lalu, melalui kerjasama PH dan BN untuk menubuhkan kerajaan, Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri atas kouta UMNO.
Dengan sekarang berpindah parti kepada PKR, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu, beliau turut membawa jawatan menteri yang dipegangnya berpindah daripada kouta UMNO kepada kouta PKR.
Dengan itu, kouta menteri PKR sekarang bertambah satu, manakala kouta menteri UMNO berkurang satu.
Juga tahniah kepada PKR.
Ketiga, dengan menjadi ahli PKR di cabang Ampang, 99% boleh disahkan bahawa Tengku Zafrul bakal bertanding di salah satu kerusi di kawasan tersebut pada masa depan.
Kalau tiada niat untuk jadi atau dijadikan calon, sudah tentu Tengku Zafrul memilih jadi ahli PKR cabang Bukit Bintang atau yang seumpamanya.
PKR ketika ini memenangi ketiga-tiga kerusi di Ampang – satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dun.
Kerusi Parlimen Ampang kini dipegang oleh Rodziah Ismail, seorang pemimpin PKR yang pro Rafizi Ramli.
Dua kerusi Dun dalam kawasan Ampang – Lembah Jaya dipegang oleh Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, penyanyi dan pencipta lagi Hoi Ya Hoi, manakala Bukit Antarabangsa diwakili oleh Mohd Kamri Kamaruddin, Timbalan Speaker Dun Selangor.
Ketiga-tiga kerusi di kawasan Ampang itu boleh dikira kerusi yang selamat buat PKR.
Bermakna, jika Anwar mahu terus meletakkan Tengku Zafrul sebagai menteri selepas PRU16 kelak dengan andaian dirinya masih boleh kekal lagi sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua, maka sudah pasti bekas Ahli MT UMNO itu akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Ampang menggantikan Rodziah.
βBye byelahβ kepada Rodziah.
Tetapi jika Anwar mahu menjadikan Tengku Zafrul sebagai Menteri Besar Selangor baru menggangikan Amirudin Shari, bererti salah satu daripada dua kerusi Dun itu akan diperuntukkan kepadanya.
Dalam erti kata lain, salah seorang daripada wakil rakyat Ampang sekarang terpaksalah diberikan ucapan βbye byeβ juga pada PRU atau PRN akan datang agar Tengku Zafrul dapat diciptakan laluan cerah di masa depannya.
Sekali lagi, tahniah kepada pengundi Ampang kerana awal-awal lagi PKR sudah mempersiapkan seorang pemimpin yang didatangkan khas daripada βkayanganβ buat mereka.
Ketika pemimpin lain dalam PKR susah-susah bertanding dalam pemilihan peringkat cabang dan pusat dengan harapan kot-kot ada nasib boleh jadi wakil rakyat, tetapi Tengku Zafrul sepertinya sudah dibentangkan karpet merah buatnya.
Fantastik, fantastik, fantastikβ¦(ShahbudinHusin 09Ogos2025)
Leave a Reply