Selepas menerima bantahan yang meluas di dalam dan luar Parlimen, Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar atau URA akhirnya ditangguhkan.
Walaupun semalam ada pembentangan, tetapi perbahasan dan pengundian hanya akan dilakukan pada sesi Parlimen Oktober depan.
Penangguhan itu dilakukan di sebalik Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan Perdana Menteri sendiri pada awalnya bertegas bahawa RUU itu akan tetap diteruskan.
Anwar Ibrahim pada sebelah pagi semalam bertegas menyatakan perlunya URA itu diluluskan bagi melindungi kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu di bandar agar mereka tidak terus hidup dalam keadaan merempat.
Di Parlimen, RUU tersebut menerima tentangan hebat daripada Ahli Parlimen pembangkang dan juga kerajaan.
Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang selama ini berdiam diri juga muncul di saat-saat akhir menolak dan menggesa ia ditangguhkan.
Dengan penentangan yang makin melebar itu, risiko kerajaan kalah jika perbahasan dan pengundian pengundian adalah tidak mustahil sama sekali.
Hampir semua yang membantah menyatakan undang-undang itu akan meminggirkan sesetengah komuniti, khususnya golongan berpendapatan rendah, serta menguntungkan pemaju, dengan itu mahukan ia ditangguhkan dahulu.
Yang pasti, keputusan menangguhkan perbahasan dan pengundian RUU URA adalah pilihan yang tidak dapat dielakkan bagi mengelak kerajaan kalah dalam pengundian.
Selepas keputusan menangguhkan itu, Nga Kor Ming kemudian menyatakan, kerajaan akan melakukan pindaan terhadap RUU tersebut.
Katanya, pindaan akan dilakukan untuk menangani kebimbangan mengenai komposisi demografi dan ambang persetujuan daripada pemilik hartanah.
Kata Nga, kerajaan mengambil berat kebimbangan yang dibangkitkan pelbagai pihak berhubung komposisi penduduk di sesebuah kawasan yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.
“Lanjutan daripada itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda fasal ini (fasal 18) dengan sewajarnya bagi menjamin demografi di kawasan terlibat, tertakluk perincian yang akan dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara,” katanya.
KPKT, katanya, turut akan meminda fasal 19 RUU berkenaan terkait dengan nilai ambang persetujuan yang diperlukan daripada pemilik atau penghuni asal sebelum projek pembaharuan bandar dapat dijalankan.
Penangguhan semalam itu bermakna ia suatu kemenangan kepada perjuangan pelbagai pihak dalam mempertahankan hak rakyat yang sejak awal lagi menyuarakan kebimbangan serta bantahan terhadap pindaan URA itu.
Tahniah kepada semua yang terlibat dan konsisten dengan perjuangan membela kepentingan rakyat.
Yang nyata, apabila kerajaan setuju menangguhkannya dan akan melakukan pindaan, ia bermakna kerajaan sendiri sedar ada kelemahan yang perlu diperbaiki dalam URA tersebut.
Kepada kerajaan, jangan lupa Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu pada asalnya adalah himpunan untuk membantah URA.
Lihatlah berapa ramai yang hadir dalam himpunan tersebut.
Jika kerajaan tidak mahu ada lagi gelombang kebangkitan rakyat muncul dengan lebih besar, mereka haruslah belajar mendengar pandangan yang berbeza yang disuaraka demi menjaga kepentingan rakyat.
Penyokong-penyokong kerajaan pula janganlah asyik sokong dan sondol setuju semua perkara macam sudah hilang akal dan pertimbangan.
Era kerajaan betul segala-galanya sudah lama berakhir dan era rakyat takut menukar kerajaan juga sudah lama berkubur.
Oleh itu, hati-hati dan beringatlah selalu dengan kuasa yang ada. – ShahbudinHusin 29Ogos2025.
Leave a Reply