Di sebalik pelbagai bantahan, kerajaan nampaknya tetap mempertahankan pendirian untuk terus membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar atau URA.
Di Parlimen hari ini, Perdana Menteri sendiri mempertahankan pindaan URA tersebut.
Katanya, pindaan itu perlu dibentangkan kerajaan kerana ia bertujuan melindungi kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu di bandar agar mereka tidak terus hidup dalam keadaan merempat.
Perkara yang paling dibantah dalam pindaan URA ialah berkaitan persetujuan untuk membangunkan sesuatu kawasan yang diturunkan sehingga kepada 75% saja daripada penduduknya.
Ia berbeza dengan undang-undang sedia ada di mana pemilik perlu memberi persetujuan 100% sebelum sesuatu flat atau pangsapuri boleh dibangunkan secara en-bloc.
Dengan pindaan baru itu bermakna, sebahagian pemilik yang tidak bersetuju boleh dipaksa pindah keluar walaupun rumah mereka masih selamat untuk diduduki.
Keadaan itu menjadikan pindaan URA dilihat lebih memihak kepada pemaju untuk membangunkannyq berbanding mempertahankan hak rakyat.
Di samping itu, klausa 21 yang terkandung dalam pindaan URA yang memberikan kuasa kepada menteri dan pihak berkuasa mengisytiharkan mana-mana bangunan atau kawasan perumahan sebagai “kawasan pembaharuan bandar” turut mengukuhkan lagi ancaman kepada hak rakyat itu.
Sebelum ini, PN bertegas menolak pindaan URA tersebut, bahkan mengancam akan menggerakkan himpunan rakyat secara besar-besaran di seluruh negara.
Malah Ahli-Ahli Dewan Rakyat PN sedia digantung daripada menghadiri Parlimen berikutan bantahan itu.
Selain PN, tujuh Ahli Parlimen PKR pro Rafizi Ramli turut menyuarakan bantahan terhadap URA dan menggesa pembentangannya ditarik balik.
Walaupun hanya tujuh Ahli Parlimen PKR yang bersuara membantah URA secara terbuka baru-baru ini, tetapi kumpulan pro Rafizi dipercayai mempunyai bilangan seramai antara 11 atau 12 orang Ahli Parlimen.
Seorang lagi Ahli Parlimen PKR, Hasan Karim juga mendesak kajian semula kepada pindaan URA itu dan menggesa kerajaan tidak terburu-buru melaksanakannya.
Dua ahli Parlimen MCA sebagaimana dinyatakan Wee Ka Siong semalam mereka sepakat akan menolak URA itu.
Pendirian UMNO belum kedengaran lagi setakat ini, tetapi Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dengan keras menolaknya serta mahukan Ahli-Ahli Parlimen parti itu juga berbuat demikian.
Di luar Parlimen, pelbagai pihak seperti NGO, kumpulan peguam, pemimpin masyarakat dan sebagainya turut bertegas menolak URA itu.
Antara hujahnya ialah pindaan yang dicadangkan itu hanya menguntungkan pemaju dan ia juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan bantahan yang makin melebar itu, kebarangkalian Ahli-Ahli Parlimen UMNO tidak bersetuju atau tidak hadir ketika pengundian adalah kemungkinan yang dilihat tidak mustahil akan berlaku.
Lagi pula, dengan menolak URA, ia tentu saja merupakan peluang terbaik untuk UMNO memperbaiki sokongan orang Melayu yang makin menipis terhadapnya, sekaligus untuk menolak imej UMDAP dan tanggapan ia tunduk kepada DAP memandangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah pemimpin kanan parti tersebut.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin, selain menggesa Ahli Parlimen UMNO tidak mengambil bahagian ketika pengundian, turut merayu rakan-rakan Ahli Parlimrn Sabah dan Sarawak juga berbuat demikian.
Ini kerana katanya, URA hanya terpakai untuk Semenanjung sahaja sebaliknya tidak terpakai bagi Sabah dan Sarawak.
“Undang-undang ini tidak terpakai untuk Sabah dan Sarawak, tolong jangan mengambil bahagian, kita semua orang Malaysia perlu berlaku adil kepada semua.
“Anda bukan sebahagian daripada undang-undang itu, anda tidak sepatutnya terlibat. Tolong benarkan kami di Semenanjung memikirkannya,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Maka, tidak mustahil dan jangan terkejut jika kerajaan boleh kalah dalam pengundian URA nanti. – ShahbudinHusin 28Ogos2025.
Leave a Reply