Perjuangan menentang Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar atau RUU URA pada mulanya hanya digerakkan oleh PN secara solo.
Sejak awal mereka menentang RUU tersebut dan mengeluarkan banyak kenyataan penolakan.
PN kemudian mengumumkan akan mengadakan satu himpunan awam atas topik tersebut, namun ia kemudian ditukar menjadi Himpunan Turun Anwar.
Himpunan tersebut berlangsung dengan jayanya pada 29 Julai lalu dengan kehadiran tidak kurang 200 ribu orang.
Selain semua Ahli PN menolak RUU tersebut, empat negeri diterajui PN atau SG4 juga secara rasmi mengumumkan penolakan.
Seterusnya, Adun-Adun PN di beberapa negeri yang mereka menjadi pembangkang tidak terkecuali berperanan menyatakan pendirian yang sama secara terbuka.
Kemudian daripada itu, lapan Ahli Parlimen PKR muncul mengumumkan penolakan dan menggesa RUU itu ditangguhkan.

Penolakan seterusnya diikuti oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh dan Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong yang mewakili dua kerusi Parlimen parti itu.
Pada ketika ini, Menteri KPKT, Nga Kor Ming serta Perdana Menteri tetap bertegas mahu RUU itu dibentangkan, dibahas, diundi dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen.
Di waktu yang sama, bantahan di luar Parlimen yang meliputi NGO, pemimpin masyarakat, kumpulan peguam dan sebagainya muncul bertali arus mengumumkan penolakan terhadap RUU URA itu.
Pada ketika inilah timbul beberapa desakan agar Ahli-Ahli Parlimen UMNO juga mengambil pendirian menolak RUU tersebut.
Untuk beberapa ketika, UMNO dan pimpinannya hanya berdiam diri dan tidak memberi sebarang respon terhadap desakan itu.
Pada tengahari 28 Ogos lalu iaitu hari di mana Menteri KPKT dijadual membentangkan RUU tersebut, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin muncul dengan gesaan agar Ahli Parlimen UMNO tidak mengambil bahagian ketika pengundian diadakan.
Beliau turut merayu rakan-rakan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak juga berbuat demikian.
Ini kerana katanya, URA hanya terpakai untuk Semenanjung sahaja dan tidak terpakai bagi Sabah dan Sarawak.
Hanya beberapa jam sebelum Nga Kor Ming sepatutnya membentangkan RUU itu bagi bacaan kali ketiga untuk ia seterusnya dibahas dan diundi, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan muncul dengan kenyataan bahawa semua Ahli-Ahli Parlimen telah sepakat membuat ketetapan menolak URA serta mahu ia ditangguhkan bagi kajian yang lebih teliti.
Dengan kenyataan media Tok Mat melalui video yang dengan pantas tersebar meluas itulah yang akhirnya membuatkan kerajaan membuat keputusan menangguhkan URA ke sesi Parlimen pada Oktober depan.
Pada Oktober akan datang, kiranya pindaan URA tetap tidak memuaskan hati, URA tidak mustahil akan terkandas sekali lagi.
Apa yang boleh disimpulkan berikutan terkandasnya RUU URA itu ialah PN dan BN, jika kedua-dunya sedia untuk bekerjasama, Malaysia ini pada PRU16 nanti pasti jadi kepunyaan mereka.
Ini bukan tulisan untuk menghasut atau suka-suka jadi batu api, tetapi sekadar membentangkan realiti.
Kepada PN dan BN, fikirlah baik-baik – nak hidup atau mati? – ShahbudinHusin 31Ogos2025.
Leave a Reply