Beberapa pemimpin UMNO dan penganalis politik dilihat ghairah memperlekeh keputusan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo menyertai Bersatu.
Secara umumnya mereka mengatakan Dr Khir tiada pengaruh lagi di kalangan rakyat dan kemasukannya ke dalam Bersatu tidak memberi sebarang nilai tambah kepada parti yang baru disertainya itu.
Mereka juga mengungkit kembali kes rasuah yang pernah dihadapinya, insiden memberi penyapu kepada pegawai kerajaan dan statusnya kini sebagai bekas banduan.
Tidak kurang ada yang angkuh berkata, UMNO sebenarnya beruntung dengan tindakan Dr Khir itu.
Dr Khir sendiri, berikutan kecaman-kecaman yang diterimanya, turut tampil menjelaskan sebahagian isu-isu yang ditimbulkan itu.
Adalah dipercayai isu berkaitan Dr Khir ini akan terus diperkatakan, terutama oleh mereka yang ingin terus mengecamnya.
Satu perkara yang harus disedari oleh semua ialah Dr Khir merupakan bekas Menteri Besar Selangor dan dengan kedudukan itu, beliau tentunya masih ada sedikit-sebanyak pengaruh di kalangan rakyat atas jasa serta sumbangan yang pernah dilakukannya.
Dengan itu, sudah pasti ada yang mengikut jejak langkahnya sama ada turut keluar UMNO atau tidak lagi mengundi BN ketika tiba hari pengundian.
Apa yang berlaku kepada sejarah silamnya adalah sebahagian kelemahan yang tentunya memberi banyak pengajaran kepadanya sekarang ini.
Yang penting Dr Khir tidak pernah mengalah, ingin bangkit semula dan sentiasa berazam untuk menebus kesilapan lalunya.
Dengan kedudukan UMNO di Selangor ketika ini boleh dikata agak tenat di mana hanya ada dua kerusi Dun saja yang dimenangi ketika PRN 2023 lalu dan tiada satu pun kerusi Parlimen dimenangi pada PRU 2022 yang lepas, tindakan Dr Khir meninggalkan UMNO dan nenyertai Bersatu, mahu tidak mahu, ia bukanlah khabar yang gembira.
Sudah tentu tindakan beliau itu ada kesan kepada kedudukan UMNO di masa depan.
Tambahan lagi, pada PRN 2023 itu juga, PH/BN hanya menang 34 kerusi Dun berbanding 22 kerusi dimenangi PN.
Berdasarkan statistik ini, kemasukan Dr Khir berpotensi mencerahkan lagi peluang PN untuk merampas negeri Selangor pada PRN akan datang.
Apatah lagi sebelum Dr Khir menyertai Bersatu, turut berbuat demikian sebelum ini ialah Noh Omar, seorang bekas menteri UMNO.
Ezam Mohd Nor pula, seorang bekas pemimpin awal PKR telah juga menyertai Pas, sebuah komponen PN.
Ertinya, semua mereka di atas akan bersama-sama dengan Azmin Ali, Ketua Pembangkang dan Pengerusi PN Selangor bagi memghadapi PRU dan PRN akan datang nanti.
Oleh itu, jangan pandang rendah dan ambil mudah kemasukan Dr Khir ke dalam Bersatu kerana beliau dan keberadaannya bersama lain-lain pemimpin itu mampu menambahkan lagi kekuatan PN yang sedia ada.
Dr Khir tidak mungkin kembali semula sebagai Menteri Besar dan sama ada beliau bertanding atau pun tidak juga belum pasti lagi, tetapi beliau tentunya ingin membuktikan penyertaannya ke dalam Bersatu bukan pilihan yang salah.
Kalau UMNO mengatakan di bawah kepimpinannyalah Selangor sebelum ini jatuh, beliau kini harus berusaha memastikan dirijya selepas ini adalah antara penyumbang kerajaan negeri sedia ada dapat dijatuhkan pula.
Usaha itu sebenarnya tidaklah begitu susah berbanding usaha UMNO memenangi lebih banyak kerusi di Selangor. – ShahbudinHusin 08Ogos2025.
Leave a Reply