Semalam, 4 Ogos 2025, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin telah membahaskan Rancangan Malaysia ke-13 di Parlimen.
Berikut adalah intipati penting ucapannya sepanjang 147 perenggan itu.
TARIF 19 PERATUS
Dalam hal berkaitan pelaksanaan cukai timbal balik 19 peratus yang ditetapkan Amerika Syarikat, Perikatan Nasional berpendirian jelas – Malaysia mesti berdagang dengan bermaruah.
“Bermaruah” bermaksud mempertahankan kepentingan negara di sebalik apa jua bentuk tekanan.
Dengan siapa pun kita berdagang – kedaulatan dan kepentingan negara wajib dipertahankan.
Orang kata, kalau tidak kerana madu – takkan lebah datang bersarang. Jadi, kerajaan perlu berterus-terang, apakah benar ada perkara-perkara yang telah dikompromikan?
Sebabnya, ancaman tarif ini isu nasional yang menuntut semua pihak bersatu hati, – stand as Malaysian, – dan ketepikan segala politik kepartian.
KAUKUS PARLIMEN
Dalam Sidang Khas Parlimen pada 15 Mei lalu, YB Menteri MITI bersetuju ditubuhkan Jawatankuasa Kaukus Parlimen yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang bagi meneliti cabaran pelaksanaan tarif timbal balik ini, – tetapi sehingga kini kita tak tahu status jawatankuasa ini.
Rakyat tidak mahu melihat sebuah kerajaan depan cakap lain, belakang buat lain.
BOEING
Hari ini, kita dimaklumkan antara lain Malaysia terpaksa membeli 60 pesawat boeing bernilai RM81 bilion untuk menurunkan tarif kepada 19 peratus.
YB Menteri MITI kata beli pesawat ini keputusan korporat dan tak guna duit rakyat.
Saya nak tanya MAS ini siapa punya?
Bukankah milik MAG dan MAG ini bukankah milik Khazanah? Betullah bukan hutang kerajaan tapi ianya liabiti kerajaan.
KDNK MADANI TURUN
Sepanjang YAB Tambun menjadi Perdana Menteri, pertumbuhan agregat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 2023 hingga 2025 hanyalah sekitar 4.3 peratus, – iaitu di bawah sasaran minimum 4.5 peratus dalam RMK-12.
Sebagai contoh, pada 2023 KDNK hanyalah 3.6 peratus, pada 2024 pula 5.1 peratus dan setakat ini sekitar 4.4 peratus bagi tempoh separuh pertama tahun 2025.
Ini belum lagi mengambil kira unjuran yang dibuat Bank Dunia yang menyasarkan KDNK Malaysia untuk tahun ini turun kepada 3.9 peratus dan penetapan semula oleh Bank Negara pada kadar antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
Pada pada tahun 2021 dan 2021, pertumbuhan agregat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa Perikatan Nasional adalah 5.9 peratus, lebih tinggi daripada 5.5 peratus sasaran maksimum RMK-12.
KDNK PN LEBIH TINGGI
Ketika pentadbiran Perikatan Nasional, KDNK berjaya melonjak tinggi hasil dasar-dasar serta Pakej Rangsangan Ekonomi yang diperkenalkan ketika itu.
Ini bermakna pertumbuhan KDNK boleh melonjak jauh lebih tinggi daripada sasaran seandainya kerajaan tahu apa yang perlu dilakukan dengan memperkenalkan dasar ekonomi dan strategi memperkukuh keyakinan pelabur.
Serendah apapun angka “lower base” itu, sekiranya tiada kebijakan dan keupayaan menguruskan ekonomi, belum tentu angka 8.7 peratus boleh dicapai.
Maka, atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, YAB Tambun dan anggota jemaah menteri harus “walk-the-talk”, – jelaskan kepada rakyat, apa sebenarnya yang berlaku.
Dan, sebuah Jawatankuasa Khas rentas parti wajar ditubuhkan bagi meneliti jurang pencapaian sasaran RMK-12 dan menerokai langkah-langkah pelaksanaan yang lebih berkesan di masa hadapan.
EMPAT PERSOALAN
Setakat ini, KDNK negara bagi setengah tahun pertama 2025 adalah 4.4 peratus dan Pendapatan Negara Kasar (PNK) Per Kapita negara bagi tahun 2024 adalah RM54,793.
Perikatan Nasional mengharap semoga sasaran RMK-13, antaranya pertumbuhan KDNK antara 4.5 hingga 5.5 peratus, penciptaan 1.2 juta peluang pekerjaan baharu, serta Pendapatan Negara Kasar (PNK) Per Kapita sebanyak RM77,200 yang disasarkan kerajaan – dapat direalisasikan.
Namun begitu, sebelum rakyat boleh meletakkan keyakinan terhadap RMK-13 ini, ada empat persoalan pokok yang wajib dijawab kerajaan:
Pertama – Adakah sebenarnya kerajaan benar-benar mempunyai keupayaan fiskal yang kukuh untuk merealisasikan peruntukan RM611 bilion seperti yang digariskan dalam RMK-13, bagi menstruktur semula ekonomi negara, tanpa membebankan rakyat?
Kedua – Sejauh mana kerajaan ini mempunyai keberanian politik untuk melaksanakan reformasi institusi dan tadbir urus secara menyeluruh?
Ketiga – Bagaimana keberkesanan pendekatan yang digariskan kerajaan dalam RMK-13 dalam menjamin keadilan sosial dan membawa kesejahteraan kepada kehidupan rakyat?
Keempat – Adakah indikator dan sasaran yang digariskan dalam RMK-13 mampu menjadi kompas yang jelas bagi menterjemahkan cita-cita besar rakyat bagi tempoh 5 tahun akan datang.
CERITA YUSOFF
Sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, Perikatan Nasional terbuka untuk menyokong setiap dasar yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara – asalkan ia adil, telus dan baik.
Dalam hal berkaitan keupayaan sebenar fiskal negara, saya terpanggil untuk berkongsi satu kisah yang boleh dijadikan pedoman – tentang seorang insan bernama Yusoff.
Yusoff bercita bercita-cita membina rumah banglo idaman mewah dan indah dalam tempoh lima tahun.
Yusoff begitu teruja. Reka bentuk, warna dinding, perabot mewah, segala-galanya dibayangkan dan diceritakan kepada sahabat dan keluarga.
Tahun berganti tahun, impian Yusoff kini menjadi angan-angan. Banglo idaman itu masih tidak dapat dibina – kerana Yusoff tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Impiannya tidak salah. Tetapi, duit tidak jatuh dari langit. Yusoff tidak mempunyai perancangan yang jelas bagaimana untuk memperolehi dana yang mencukupi.
Perikatan Nasional berharap nasib RMK-13 tidak begitu.
BELANJA RMK-13
YAB Tambun mengumumkan jumlah perbelanjaan keseluruhan RMK-13 adalah sebanyak RM611 bilion bagi tempoh 5 tahun pelaksanaan.
Sebenarnya, daripada jumlah keseluruhan tersebut, perbelanjaan daripada poket kerajaan adalah RM430 bilion, tambahan RM30 bilion sahaja berbanding perbelanjaan RM400 bilion bagi RMK-12, dan RM248.5 bilion bagi RMK-11.
Manakala, peruntukan selebihnya RM120 bilion datangnya daripada pembiayaan GLC dan GLIC, dan RM61 bilion daripada model perkongsian awam-swasta (PPP).
Persoalan besar yang perlu dijelaskan oleh kerajaan – dari manakah datangnya RM430 bilion wang kerajaan ini?
Pertama, adakah kerajaan akan menambah hutang baharu – untuk membiayai RMK-13 ini?
Kedua, adakah tanggungan fiskal Kerajaan ini akan ditanggung bersama oleh rakyat melalui:
i. Peluasan skop dan kadar cukai SST;
ii. Pengenalan cukai-cukai baharu;
iii. Penarikan subsidi atas nama rasionalisasi.
LEBIHAN DAGANGAN SUSUT
Lebihan dagangan Malaysia telah mencatat penurunan dari tahun ke tahun: Daripada, RM255.10 bilion pada tahun 2022; Kepada, RM214.10 bilion pada tahun 2023;
Dan kini hanya, RM136.88 bilion pada tahun 2024.65. Ini bermakna lebihan dagangan Malaysia telah susut hampir 50% dalam tempoh hanya dua tahun. Ini belum mengambil kira kesan pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat.
Melihat kepada angka-angka ini, saya bimbang rakyat melihat RMK-13 ini sebagai petanda, SST akan diperluaskan, cukai baharu bakal diperkenalkan dan subsidi akan disasarkan – akhirnya kehidupan rakyat makin melarat.
HUTANG NEGARA
YAB Tambun menyifatkan keadaan hutang negara yang menggunung sebagai satu “keterlanjuran lalu”.
Saya nak tegurlah, hutang bukan satu bentuk “keterlanjuran” jika diurus dengan tertib, berhemah dan disalurkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Keterlanjuran” yang didakwa itu adalah sebenarnya yang telah:
i) Menyelamatkan lebih 150,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang hampir gulung tikar.
ii) Melindungi jutaan pekerjaan melalui program subsidi upah.
iii) Menyediakan bantuan tunai langsung ke tangan rakyat.
iv) Dan memastikan makanan kekal di atas meja rakyat ketika ekonomi dunia lumpuh sepenuhnya.
Mohon YAB Tambun bertanya sendiri kepada bekas Menteri Kewangan ketika itu, yang sekarang ini merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
HUTANG RM1.7 TRILION
Saya mahu bertanya kepada YAB Tambun – apakah justifikasi Kerajaan YAB Tambun pula bagi penerbitan hutang hampir RM90 bilion pada tahun 2023, ketika negara tidak lagi dalam darurat kesihatan awam?
Kalau dahulu hutang yang didakwa “keterlanjuran” itu untuk selamatkan nyawa, sekarang hutang YAB Tambun itu untuk selamatkan siapa?
Hakikatnya, hutang langsung kerajaan Malaysia telah meningkat kepada RM1.305 trilion setakat akhir Jun 2025 – naik RM50 bilion hanya dalam tempoh 6 bulan sejak Disember 2024.
Itu belum dicampur liabiliti luar jangka dan jaminan kerajaan. Kalau dicampur hutang langsung dan liabiliti kerajaan sebanyak RM384.6 bilion setakat Mac 2025 – jumlah keseluruhan hutang kerajaan kini mencecah RM1.685 trilion – iaitu hampir RM1.7 trilion.
Dengan kata lain, dalam tempoh kurang daripada dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan telah melonjak kepada RM285 bilion.
RMK-13 BUKAN MANIFESTO PRU
RMK-13 mesti dipandu dengan realiti sebenar yang dihadapi rakyat. Ia tidak boleh bersandar semata-mata kepada idealisme politik kerana RMK-13 bukanlah manifesto pilihan raya.
Benar, angka dan indikator ekonomi seperti sasaran pertumbuhan KDNK, kadar inflasi dan aliran pelaburan adalah penting.
Tetapi yang lebih penting – realiti di lapangan. kehidupan yang lebih pedih dan mendesak: rakyat sedang susah, rakyat sedang terhimpit.
Apa makna KDNK berkembang 5.5 peratus, jika menurut data Bank Negara, 61 peratus rakyat Malaysia masih tiada simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk kecemasan?
Apa ertinya inflasi diumumkan 1.1 peratus, kalau harga barang dapur naik hampir setiap minggu?
Kita perlu jujur melihat inflasi makanan – yang melonjak 2.9 hingga 3.3 peratus, terutamanya di Lembah Kelang.
HAK RAKYAT
YAB Tambun mengakui pertumbuhan ekonomi tidak memberi sebarang makna sekiranya kebebasan dan hak rakyat untuk hidup bermaruah masih dirundung kelaparan, ketidakadilan dan peminggiran.
Ini memperlihatkan Kerajaan Madani akhirnya bangkit dari tidur. Bila rakyat bangkit dan turun berhimpun, – baru diumumkan minyak turun 6 Sen.
FDI MEROSOT
Ketika pentadbiran Perikatan Nasional, FDI bagi tahun 2021 dan 2022 berjumlah RM122.7 bilion, Manakala, pada tahun 2023 dan 2024, di bawah pimpinan YAB Tambun, FDI merosot kepada RM91.9 bilion.
Satu penurunan yang amat ketara. Ironinya , berbanding kita, Indonesia mencatatkan trajektori peningkatan:
USD45.6 bilion bagi tahun 2022;
USD47.3 bilion bagi tahun 2023;
USD55.3 bilion bagi tahun 2024;
Apabila pelaburan merosot, pendapatan negara terjejas.
Akhirnya kerajaan tiada pilihan melainkan mengurangkan subsidi serta mengecilkan perbelanjaan pembangunan.
Kita bercakap soal negara maju – tetapi poket rakyat makin menipis.
Bagaimana Malaysia mahu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana ini?
RMK-13 JANGGAL
Sedar atau tidak, RMK-13 ini agak janggal kerana kerajaan seolah-olah tidak berani untuk mengambil langkah tegas dalam menangani kesenjangan ekonomi dalam negara.
Antaranya, masalah jurang pendapatan antara bumiputera dan bukan-bumiputera, masalah jurang pertumbuhan antara wilayah pantai timur dan pantai barat, masalah ketidakadilan agihan keuntungan antara majikan dan pekerja, serta beberapa perkara lagi.
PM PENYIASAT, PENDAKWA, HAKIM
Kontroversi pelantikan hakim, titah addendum Yang di- Pertuan Agong, ketidakpatuhan terhadap Akta Lompat Parti dan terkini kenyataan YAB Tambun sendiri ke atas Tun Dr. Mahathir dalam isu RCI Pulau Batu Puteh.
Ini memberi isyarat salah sepertinya beliaulah penyiasat, beliaulah pendakwa raya dan beliaulah hakim, membuktikan campur tangan serius dalam institusi penting negara.
RASUAH -CAKAP LAIN BUAT LAIN
Satu lagi “gajah dalam bilik” yang perlu ditangani adalah keraguan rakyat terhadap kejujuran kerajaan YAB Tambun apabila melaungkan agenda membanteras rasuah dan pengukuhan integriti, – seolah-olah, cakap lain, buat lain.
Contohnya seperti apa yang kita lihat berkaitan skandal lesen perlombongan seluas 70,000 hektar di Sabah, yang mempunyai keluasan bersaiz 3 kali ganda keluasan bandar Kuala Lumpur. Ianya adalah sangat membimbangkan.
Seluruh negara tertanya-tanya mengapakah pemberi maklumat dan hanya dua sahaja ADUN yang terlibat dalam skandal video rasuah di Sabah didakwa dan selebihnya kebal.
Mengapakah kelihatan seolah-oleh agensi penguatkuasaan “berperang” dengan orang yang memberikan maklumat?
KEK EKONOMI
Perikatan Nasional melihat sesuatu Rancangan Malaysia itu sebagai peluang untuk kita besarkan kek ekonomi negara dengan melihat kepada sektor-sektor strategik.
Perikatan Nasional mempunyai “game-plan” yang lebih baik untuk Malaysia. Matlamat kami adalah jelas untuk membaiki apa yang yang perlu dibaiki. Kita nyalakan semula ekonomi Malaysia.
Perikatan Nasional percaya bahawa persekitaran ekonomi yang segar, dinamik dan bertenaga mampu diwujudkan sekiranya kita mempunyai keberanian politik untuk menyusun semula keutamaan negara, mengamalkan disiplin fiskal yang bertanggungjawab, dan mengembangkan asas hasil negara secara mampan dan strategik.
Perikatan Nasional mencadangkan bahawa keutamaan negara mesti disusun semula dengan memastikan perbelanjaan yang seimbang antara pembangunan dan kebajikan, menamatkan dasar ekonomi yang berat sebelah, memihak kepada golongan kaya sambil mengabaikan golongan miskin.
PELABURAN IMPAK TINGGI
Tumpuan kita mesti beralih kepada sektor pelaburan berimpak tinggi dan membina kapasiti dalam pendidikan, infrastruktur digital dan kemahiran teknikal – bagi mempersiapkan belia kita menghadapi masa depan.
Sektor-sektor strategik inilah tonggak utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Justeru, sektor-sektor ini perlu diransangkan lagi dengan pelbagai insentif baharu agar ia dapat memberi sumbangan lebih besar kepada negara.
Manakala sektor pertanian misalnya, kita bergantung kepada import makanan yang besar. Kita import RM75.6 bilion makanan setahun.
Sebab itu, Perikatan Nasional menyeru agar kerajaan memberikan fokus untuk besarkan pengeluaran makanan negara terutamanya pengeluaran padi, agrikultur, perikanan dan sayur-sayuran dengan menggunakan teknologi-teknologi baru seperti AI agar pada akhirnya, kita pula menjadi pemain utama menjadi negara pengeksport makanan.
TIGA BATU ASAS
Perikatan Nasional menyeru kerajaan memberi penekanan kepada keseimbangan antara wilayah untuk meredakan keresahan rakyat.
Kita harus terus mencari jalan bagaimana cara untuk kita pastikan Pekali GNI dapat kita perkecilkan sebelum kita muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi.
Saya menyeru kepada semua pihak untuk berpegang kepada 3 batu asas iaitu matlamat bersama (common goal), perkongsian kemakmuran (shared prosperity) dan keprihatinan tadbir urus (compassionate governance):
• Matlamat Bersama – untuk menggerakkan pembinaan negara bangsa melangkaui partisan dengan menolak era politik kelangsungan diri, menolak politik dendam.
• Perkongsian Kemakmuran – untuk memastikan hasil kekayaan negara dikongsi bersama, matlamat pembangunan negara perlu didefinisikan semula.
• Keprihatian Tadbir Urus – berteraskan nilai keprihatinan dan kemanusiaan dengan mengiktiraf rakyat sebagai rakan usaha sama, bukan sebagai beban atau masalah.
TEKAD PN
Perikatan Nasional mempunyai tekad dan iltizam untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati kemakmuran ekonomi, taraf hidup yang wajar.
“As we move forward, no one left behind.”
Kerana kami percaya suara rakyat suara keramat…
Dan bila suara itu diabaikan…
Gelombang kebangkitan pasti menyusul…
Dan hari ini, rakyat dah hilang keyakinan…
Rakyat dah hilang sabar…
Ianya ibarat guruh sebelum badai…
HAMZAH ZAINUDDIN
Ketua Pembangkang.
Leave a Reply