Semakin banyak sayap Pemuda DAP menggesa parti itu memutuskan hubungan dengan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh.
Yang terbaru berbuat demikian ialah Pemuda DAP Selangor dan Melaka.
Sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan lebih dulu membuat desakan yang sama.
Meskipun desakan dijangka akan berterusan, tetapi sehingga ini DAP masing tidak memberi sebarang respon.
Kenapa jadi demikian?
Bukankah sebelum ini Setiusaha Agung DAP, Anthony Loke sendiri mendesak Pemuda DAP membuat laporan polis terhadap Dr Akmal berhubung perarakan dan demonstrasi di depan sebuah kedai logam di Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Berikutan banyak laporan polis telah dibuat terhadap Dr Akmal, beliau sudah pun didakwa di mahkamah pada Jumaat lalu.
Dengan itu, DAP sepatutnya tidak berlengah lagi memenuhi desakan Pemuda DAP agar memutuskan hubungan dengan Pemuda UMNO.
DAP tidak harus takut atau cuba berselindung lagi dalam penentangan dan penolakannya terhadap Dr Akmal dan Pemuda UMNO.
Kalau dah benci dan tak mahu bekerjasama, tunjukkan ia dalam tindakan yang nyata.
Jangan cakap saja.
Sepertimana disebut Dr Akmal sebelum ini, memutuskan hubungan dengannya bermakna memutuskan hubungan dengan Pemuda UMNO.
Oleh itu, DAP mesti berani memutuskan hubungannya dengan Pemuda UMNO secara total dalam kadar yang segera.
Lagi pun, DAP dan Pemuda UMNO memang tidak boleh bekerjasama dan kelihatan berbeza daripada segi perjuangan.
Kedua-duanya bukan saja berbeza pendirian dalam isu bendera terbalik, bahkan dalam beberapa isu lain sebelum ini.
Sedemikian, jangan bertangguh dan tunggu lebih lama lagi. – ShahbudinHusin 23Ogos2025.
Leave a Reply