Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih lebih rendah, susut kepada RM1.6 bilion pada suku kedua 2025 berbanding RM15.6 bilion pada suku sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan itu dipengaruhi oleh suntikan ekuiti yang berterusan dan aliran masuk dalam instrumen hutang, sebahagiannya diimbangi oleh penghantaran pulang pendapatan yang lebih tinggi kepada syarikat induk di luar negeri.
Beliau berkata, kebanyakan aliran masuk FDI disalurkan ke sektor perkhidmatan, khususnya dalam subsektor aktiviti kewangan serta maklumat & komunikasi, terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti pusat data.
“Pelabur utama FDI adalah dari Singapura, Jepun dan United Kingdom (UK). Sementara itu, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM600 juta berbanding aliran keluar bersih RM3.5 bilion pada suku tahun sebelumnya.
“Aliran masuk ini terutamanya disebabkan oleh pencairan ekuiti dan instrumen hutang, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan, dengan sebahagian besarnya tertumpu kepada subsektor maklumat & komunikasi.
“Indonesia, Arab Saudi dan Singapura merupakan penyumbang utama kepada aliran masuk DIA pada suku ini,” katanya.
Mohd Uzir berkata, sehingga akhir suku kedua 2025, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia pula mencatatkan aset bersih yang lebih tinggi berjumlah RM63.1 bilion.
Beliau berkata, jumlah kedudukan aset kewangan bernilai RM2.56 trilion, mengatasi jumlah liabiliti sebanyak RM2.50 trilion.
Katanya, jumlah keseluruhan pelaburan bagi FDI dan DIA masing-masing adalah RM1.0 trilion dan RM622.5 bilion.
“Asia merupakan rantau utama bagi kedua-dua pelaburan, dengan FDI kebanyakan dari Singapura dan Hong Kong, manakala DIA banyak dilaburkan di Singapura dan Indonesia.
“Selain itu, rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM510 bilion pada akhir Jun 2025,” katanya.
Leave a Reply