Baru-baru ini. Timbalan Presiden MIC, M Saravanan meluahkan kecewa terhadap BN dan kerajaan perpaduan kerana mendakwa parti itu tidak dilayan dengan sewajarnya.
Selain menyuarakan kekecewaan kerana MIC didakwa tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan serta dipinggirkan oleh BN, beliau juga menegaskan tidak mahu membiarkan parti itu terus dibuli.
Tidak sampai sebulan selepas kenyataan tersebut, kini MIC nampaknya terus melangkah mencari haluan yang diyakini lebih menjamin masa depan.
Kali ini Presiden MIC, SA Vigneswaran sendiri mengesahkan pihaknya telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) mengenai hala tuju parti itu.
Beliau berkata, kepimpinan MIC sedang mengkaji secara serius hala tuju parti berikutan usul yang dicadangkan oleh ahli akar umbi, termasuk di Kedah dan Pulau Pinang yang menggesa parti itu menyertai PN.
“Ya, kita akui ada melakukan perbincangan tidak rasmi dengan PN mengenai hala tuju MIC.
“MIC tak ada sembunyi apa-apa (perbincangan dengan PN), ini bukannya hubungan sulit.
“MIC akan menentukan hala tujunya sendiri, namun kami tidak marah dengan siapa-siapa,” katanya lagi.
Vigneswaran seterusnya menegaskan, sebarang keputusan yang akan diambil MIC adalah untuk kebaikan masyarakat India di negara ini dan untuk masa depan parti, sambil menyatakan bahawa dinamika dan landskap politik negara semakin berkembang memerlukan parti itu merangka langkahnya dengan teliti bagi mengelak daripada menjadi tidak relevan.
“Semua perlu faham, dinamika politik negara sudah berubah, jika MIC tak terima hakikat itu, kami akan hilang,” ujarnya.
Apa pun, dengan langkah yang diambil MIC ini, ia adalah perkembangan yang baik dan sangat positif, bukan saja kepada parti itu, tetapi juga bagi masa depan depan negara secara keseluruhannya.
Dengan itu, tahniah kepada MIC kerana sentiasa bersikap positif, pragmatif dan percaya melalui penghijrahan mampu menghasilkan perubahan.
Realitinya, tidak perlu lagi MIC kekal dalam BN, khususnya selagi gabungan itu bersama kerajaan perpaduan yang ada DAP di dalamnya kerana selagi itulah MIC, malah MCA akan terus tersisih.
MIC tidak perlu takut untuk bersama PN kerana ia diyakini mampu memberi laluan untuk mereka memenangi lebih banyak kerusi seperti sebelum-sebelum ini.
Sebelum ini MIC mampu menang banyak kerusi kerana ia disokong oleh UMNO yang masih disokong oleh majoritii pengundi Melayu.
Tetapi sekarang, parti yang disokong oleh majoriti orang Melayu ialah PN, bukan lagi UMNO.
UMNO dengan 26 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU15 lalu, pada hakikatnya berada di belakang Pas yang menang 43 kerusi dan Bersatu yang memenangi 31 kerusi Parlimen.
Bersama PN, ia adalah pilihan yang tepat buat MIC.
Ia bukan saja diyakini mampu membuatkan MIC mengekalkan kerusi Tapah yang sedia dipegangnya, malah menambah beberapa kerusi lagi. – ShahbudinHusin 17Ogos2025.
Leave a Reply