Menjelang kira-kira dua tahun lagi sebelum PRU16 diadakan, kejayaan 12 parti-parti dalam blok pembangkang bersatu dalam sebuah gabungan tentunya merupakan suatu perkembangan yang positif lagi sihat.
Ini memperlihatkan blok pembangkang benar-benar serius mahu memberi saingan, sekaligus menggambarkan keinginan mengambil alih kerajaan daripada PH/BN pada PRU akan datang.
Rakyat pula, dengan adanya gabungan 12 parti itu, kini sudah ada pilihan yang seimbang dengan kerajaan PH/BN sedia ada.
Gabungan 12 parti itu terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sebuah lagi organisasi yang terlibat ialah parti yang belum didaftarkan secara rasmi – Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Kumpulan 12 parti itu secara umumnya bersetuju membentuk satu gabungan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang mereka dakwa gagal diselesaikan kerajaan, termasuk janji reformasi.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata, nama bagi gabungan longgar itu hanya akan diumumkan pada mesyuaratnya yang akan datang.
PN sebelum ini lebih dilihat sebagai gabungan politik berwajah Melayu, terutama kerana semua 74 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU15 lepas adalah daripada kawasan Melayu belaka.
Tetapi dengan kejayaan penggabungan 12 parti ini, ia dengan sendirinya memperlihatkan blok pembangkang kini diwakili oleh parti yang mewakili semua kaum.
Dengan itu, PH/BN sewajarnya mulai berasa bimbang terhadap kuasa yang sedang mereka pegang.
Tambahan lagi, berdasarkan keputusan PRU15 lalu di mana PN berjaya meraih sokongan 70 peratus pengundi Melayu, apa yang mereka perlu lakukan selepas ini ialah memperkasakan kedudukan di kawasan bandar dan kawasan bukan Melayu.
Bagi kawasan pengundi Melayu, berdasarkan prestasi semasa kerajaan dan isu-isu yang timbul, PN diyakini tiada masalah untuk mengekalkan sokongan sedia ada.
Bahkan, jika sokongan Melayu dapat dipertingkatkan sedikit lagi, PN juga pastinya mampu merampas beberapa kerusi Parlimen yang sekarang dimenangi UMNO, PKR dan Amanah.
Masalah PN hanya mereka kurang mendapat sokongan pengundi bukan Melayu.
Namun, dengan kejayaan menggabungkan parti-parti pembangkang ini, pengundi bukan Melayu sudah ada pilihan lain selain DAP.
Jika selepas ini, MCA serta MIC yang sebelum sering merungut tak puas hati dan diketepikan membuat keputusan keluar BN dan mengambil langkah bekerjasama dengan PN, ia tentulah merupakan sesuatu yang positif lagi.
Berbanding kekal bersama BN dan BN kekal bekerjasama dengan PH yang mana DAP kuat di dalamnya, MCA dan MIC akan terus terpinggir serta tersisih.
Sebaliknya melalui PN, parti-parti bukan Melayu itu, termasuk MCA dan MIC, boleh saling bekerjasama dan berbahagi kerusi untuk bertanding di kawasan-kawasan DAP.
Akhirnya, sambil disokong Pas dan Bersatu yang merupakan parti pilihan utama orang Melayu, potensi untuk mereka menang di beberapa kerusi DAP akan mencari cerah.
Selain itu, disebabkan Pemuda UMNO dan DAP terus berbalah, PKR semakin terpecah selepas penyingkiran Rafizi Ramli dan timbunan isu melibatkan kerajaan yang timbul setiap hari dan membuatkan rakyat sentiasa sesak nafas, bergabungnya 12 parti dalam blok pembangkang ini umpama sinar yang membawa harapan baru menjelang PRU akan datang.
Pimpinan PH/BN dan penyokong mereka tentu saja memperlekehkan kewujudan gabungan 12 parti ini dengan pelbagai naratif yang direka-reka, tetapi percayalah, rakyat tidak bodoh dan tidak mudah diperbodohkan.
Himpunan demi himpunan rakyat kebelakangan ini dan bagaimana banyaknya kenyataan menteri-menteri disanggah serta tidak lagi diyakini, ia adalah petunjuk awal rakyat tidak takut dan sedia untuk berubah lagi. – ShahbudinHusin 19Ogos2025.
Leave a Reply