Sidang media Rafizi Ramli pagi tadi secara umumnya tersasar daripada jangkaan banyak pihak.
Pada awalnya sidang media itu dijangka sebagai pengumuman penarikan sokongan beliau bersama beberapa Ahli Parlimen PKR terhadap Perdana Menteri.
Ramai yang beranggapan demikian susulan keputusan pemilihan PKR Mei lalu yang menyaksikan bukan saja Rafizi terpelanting daripada jawatannya, bahkan cai beliau turut kalah sebahagian besarnya.
Rupa-rupanya topik sidang media pagi tadi yang dihadiri tujuh daripada sembilan Ahli Parlimen yang sependiaan adalah berkaitan isu kehakiman dengan kebimbangan skanval VK Lingam berulang lagi , lantas menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Diraja berkaitan empat kes dalam badan kehakiman mutakhir ini iaitu:-
- bahawa bagi pelantikan hakim-hakim baru (sama ada bagi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan), pencalonan yang telah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan tidak diambil tindakan pada kadar yang sewajarnya, yang menyebabkan kekosongan menjadi mendesak;
- bahawa pencalonan bagi kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah pun diputuskan oleh JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri sebelum ini, tetapi pelantikan tidak dibuat sehinggalah menyebabkan kekosongan yang ada sekarang;
- bahawa mesyuarat JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lepas tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan untuk membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong;
- bahawa pada satu mesyuarat JAC yang lepas, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan satu kes dan pertukaran hakim.
Selain menggesa ditubuhkan Surujanjaya Diraja, antara tindakan lain yang akan diambil ialah:-
- memohon secara rasmi supaya satu prosiding dan siasatan dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi), termasuk memanggil Perdana Menteri untuk memberi keterangan,
- menggerakkan forum awam di seluruh negara untuk memberi kesedaran dan mendapatkan sokongan dengan yang pertama akan bermula di Kuala Lumpur/Selangor pada hariAhad, 13 Julai 2025 jam 830 malam, sebelum bergerak ke bandar-bandar utama yang lain,
- menggerakkan satu kempen di kalangan Ahli Parlimen untuk mendapat sokongan,
- Satu petisyen atas talian seluruh negara akan digerakkan untuk menzahirkan hasrat rakyat supaya kebebasan institusi kehakiman dipertahankan.
Dengan semua tindakan di atas, selain ia merupakan cara untuk menekan Perdana Menteri dan kerajaan dalam isu kehakiman, apa yang dilakukan Rafizi ini nampaknya jauh menyimpang daripada kenyataannya dalam podcast baru-baru ini yang memberi bayangan tidak ingin bertanding lagi dan mahu bersara terus daripada politik.
Rafizi terlihat masih ada keghairahan dalam meneruskan perjuangan dalam dunia politik dan forum awam yang bakal digerakkannya ke seluruh negara bermula 13 Julai depan berkaitan isu kehakiman adalah permulaan untuk menjadikan dirinya kekal dekat dengan rakyat sebelum PRU16 akan datang.
Forom awam itu tak ubah seperti ulangan Jelajah Ayuh Malaysia yang digerakkannya sebelum PRU15 lalu.
Selepas ini nanti, forum awam mungkin terus diadakan berkaitan isu-isu lain pula, sekaligus meletakkan kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri sentiasa jadi sasaran.
Dengan makin dekat dengan rakyat dan banyak menjelajah ke seluruh negara, Rafizi dan kumpulannya ternampak sedang menyediakan pilihan untuk kekal lagi sebagai Ahli Parlimen, meskipun jika mereka diketepikan oleh PKR.
Kalau pun tidak menubuhkan parti baru, keberangkalian ialah bertanding atas tiket Bebas tetapi disokong dan tidak disaingi oleh blok pembangkang. – ShahbudinHusin 07July2025.
Leave a Reply