Ada dua perkara yang sering diulang-ulang oleh mereka yang mahu memperlekehkan himpunan “Turun Anwar” semalam.
Pertama, kenapa tak bawa usul undi tak percaya di Parlimen, jika benar Anwar mahu diturunkan?
Kedua, jika Anwar turun, siapa calon pengganti untuk dijadikan Perdana Menteri?
Bagi persoalan pertama, sebelum mereka mengulang-ulang lagi soalan yang sama, harap jawab dahulu soalan ini – semasa demo “Turun Mahathir” dan “Turun Najib” sebelum ini, pernahkah usul undi tidak percaya cuba diusulkan di Parlimen ketika itu?
Jika ketika itu perkara tersebut tidak pernah dilakukan, kenapa perlu dipaksa orang lain melakukannya sekarang?
Lagi pula, untuk menurunkan Perdana Menteri, ia tidak semestinya dilakukan melalui undi tidak percaya di Parlimen saja.
Ada pelbagai cara Perdana Menteri boleh turun daripada jawatannya – kadang-kadang secara sukarela dan kerap juga disebabkan tekanan di luar Parlimen.
Tetapi, tidak pernah dalam sejarah negara ini ada mana-mana Perdana Menteri direkodkan kejatuhannya melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.
Tun Mahathir Mohamad (pada tahun 2020) meletakkan jawatan kerana tekanan dan hilang sokongan yang digerakkan di luar Parlimen.
Begitu juga dengan Muhyiddin Yassin (pada tahun 2021), juga meletakkan jawatan kerana kehilangan sokongan setelah sejumlah Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan, juga di luar Parlimen.
Tun Abdullah Badawi setuju meletakkan jawatan dan melakukan peralihan kuasa adalah disebabkan tekanan berterusan daripada Tun Mahathir sehingga BN pada PRU 2008, hilang majoriti dua pertiga buat kali pertama dalam sejarahnya menjadi kerajaan.
Sebelum itu, pada tahun 2002, tanpa sebarang desakan dan paksaan, Tun Mahathir secara tiba-tiba saja meletakkan jawatan, seterusnya menyerahkan jawatan kepada Tun Abdullah pada 2003.
Jadi, jika selama ini tiada Perdana Menteri pernah dijatuhkan melalui usul undi tidak percaya di Parlimen, apa logiknya ia mahu dilakukan sekarang?
Hakikatnya, ada banyak cara dan sebab Perdana Menteri boleh dijatuhkan, tetapi tidak pernah sekali pun ia berlaku melalui usul undi tidak percaya di dalam Parlimen.
Demo Turun Anwar memang bermatlamatkan demikian, namun ia tidak terikat dengan tempoh waktu tertentu untuk dijadikan kenyataan.
Ia boleh jadi minggu depan, bulan depan, tahun depan atau ketika PRU16 akan datang.
Takkan semuanya mahu diceritakan secara terbuka?
Demo yang dicetuskan semalam semata-mata bertujuan membina momentum dan memberi keyakinan kepada rakyat tentang maksud yang dimatlamatkan.
Berkaitan calon Perdana Menteri pula, selain blok pembangkang mempunyai beberapa nama yang berkelayakan, beberapa Ahli Parlimen lain juga turut boleh dicalonkan sebagai Perdana Menteri ke-11 selepas Anwar.
Tidak kecoh-kecoh menjaja calon Perdana Menteri bukan bererti tiada calon untuk diketengahkan.
Bila tiba masanya nanti, ia akan diketahui juga setelah ada proses musyawarah dan perbincangan sebelum nama dikemukakan kepada Yang Di-Pertuqn Agong.
Lagi pun, mengambil contoh beberapa perlantikan Menteri Besar di beberapa negeri sebelum ini, nama yang ditonjolkan parti tidak semestinya diterima oleh pihak Istana.
Tetapi jika ada yang tak sabar-sabar mahu tahu siapa calonnya, minta atau gesalah Anwar letak jawatan terlebih dahulu? – ShahbudinHusin 27July2025.
Leave a Reply