Ada pelbagai pro dan kontra kedengaran berikutan tindakan Rafizi Ramli mengadakan sidang media bersama lapan Ahli Parlimen PKR menuntut kerajaan menubuhkan RCI atau Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan isu kehakiman.
Ada yang setuju dan memuji tindakan beliau itu, tetapi tidak kurang yang bersikap sinis serta mempertikaikannya atas alasan RCI yang disarankan tidak berkesan untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.
Meskipun bagi yang radikal sikit, mereka malah mencadangkan Rafizi sepatutnya mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan atau mengemukakan usul tidak percaya pada sidang Parlimen bermula 21 Julai hingga 28 Ogos depan, namun bagi penyokong Perdana Menteri, mereka beranggapan, Anwar Ibrahim sama sekali tidak tergugat dengan apa yang dilakukan bekas Menteri Ekonomi itu.
Anwar tidak mungkin jatuh, kata mereka.
Dalam sidang media semalam, sembilan Ahli Parlimen memberi komitmen tandatangan sokongan untuk penubuhqn RCI berkenaan iaitu Rafizi sendiri (Pandan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar ( Batu Pahat).
S Kesavan dan Onn Abu Bakar bagaimanapun tidak hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Secara kasarnya memang diakui Anwar tidak akan tumbang melalui isu kehakiman yang dibangkitkan Kumpulan 9 ini, tetapi daripada segi politik, ia dengan sendirinya memperlihatkan Rafizi mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 9 daripada 31 Ahli Parlimen PKR sekarang ini.
Dipercayai ada tiga atau empat orang lagi Ahli Parlimen PKR yang tetap setia bersama Rafizi, cuma disebabkan mereka ada jawatan dalam kerajaan menyebabkan mereka tidak ikut sama menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan.
Dengan jumlah Ahli Parlimen yang ada bersama Rafizi itu, walaupun beliau tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan, ini memperlihatkan pengaruhnya tidak boleh dipandang ringan.
Jika berlaku sesuatu undian di Parlimen, mereka bila-bila masa boleh menjadi penentu kemenangan atau membawa kekalahan kepada kerajaan.
Begitu juga jika Rafizi terus mengkritik dan menuntut itu dan ini daripada kerajaan bersama sejumlah Ahli-Ahli Parlimen PKR itu, di mata umum ia dengan sendirinya memperlihatkan ketidakstabilan parti yang menerajui kerajaan.
Satu perkara lagi ialah Rafizi mempunyai kebolehan membina naratif apabila membangkitkan sesuatu isu dan ketika berlawan dengan musuh politiknya.
Sekarang ini pun sudah dapat dilihat bagaimana beliau menonjolkan dan meletakkan dirinya di hati rakyat dan pengundi atas pagar sejak tidak lagi berada dalam kerajaan susulan dikalahkan dalam pertandingan parti, Mei lalu.
Hari-hari seterusnya dan sehingga PRU16 akan datang, Rafizi dipercayai tidak akan duduk diam, malah akan terus mengembangkan pengaruhnya.
Maka itu, pihak kerajaan dan khususnya PKR, mereka tidak harus sekadar duduk diam saja menyaksikan pementasan demi pementasan yang bakal dipanggungkan oleh Rafizi bersama kumpulannya.
Berdiam diri, gagal menjawab atau tidak berbuat sesuatu, semua itu hanya akan memungkinkan penolakan rakyat melebar dan terus melebar kepada kerajaan menjelang PRU16 akan datang. – ShahbudinHusin 08July2025.
Leave a Reply