Media melaporkan, sebuah persatuan pemandu teksi bakal menganjurkan himpunan Kekal Anwar sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri.
Himpunan yang dirancang untuk diadakan pada 27 September depan di Dataran Merdeka itu akan dianjurkan oleh Gabungan Teksi SeMalaysia.
Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia ialah Kamarudin Hussain yang pernah bertanding merebut jawatan Ketua Cabang PKR Selayang dalam pemilihan baru-baru ini.
Himpunan itu dirancang sebagai membalas himpunan Turun Anwar yang diadakan PN pada 26 Julai lepas.
Kamarudin dilaporkan berkata, perhimpunan itu adalah untuk menonjolkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Anwar dan usaha kerajaan perpaduan dalam melaksanakan reformasi.
Katanya, kestabilan politik berterusan adalah penting dalam usaha mengekalkan pembangunan ekonomi dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.
Selain mengundang Anwar, Kamarudin turut dilaporkan akan menjemput para pelajar, kumpulan masyarakat sivil dan parti-parti politik PH serta BN untuk hadir sama, sambil menggesa semua pihak yang menyokong kerajaan perpaduan agar bersatu padu menyatakan sokongan terhadap kerajaan semasa.
Oleh kerana setakat ini tiada mana-mana pihak berkaitan parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan tergerak hati untuk memperlihatkan Anwar benar-benar mendapat sokongan rakyat, apa yang dirancang Kamarudin ini seharusnya diberi sokongan tanpa berbelah bahagi.
Jika tidak, kedudukan Anwar sentiasa dipertikaikan, walaupun jumlah majoriti dimilikinya di Parlimen boleh dikira kukuh.
Mereka yang mempertikaikan berhujah, sokongan di Parlimen tidak sama dengan sokongan rakyat di bawah.
Sokongan rakyat hanya dapat dibuktikan dengan himpunan seperti himpunan Turun Anwar baru-baru ini.
Dengan itu, semua pihak yang menyokong Anwar tiada pilihan lain selain harus bertungkus lumus memastikan himpunan Kekal Anwar nanti benar-benar dihadiri lebij ramai orang dan menjadi acara himpunan yang terbesar dalam sejarah.
Himpunan Kekal Anwar tidak boleh kurang kehadirannya daripada demo Turun Anwar.
Jika kurang, gambarannya ialah Anwar kurang mendapat sokongan berbanding mereka yang ghairah mahu menurunkannya.
Tidak kira sama ada himpunan Turun Anwar yang lalu kehadirannya dianggarkan 18 ribu, 20 ribu, 25 ribu, 50 ribu, 100 ribu atau 200 ribu, tetapi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sampah yang dibersihkan selepas perhimpunan adalah sebanyak 20,000 kilogram atau 20 tan.
Dengan demikian, hanya ada satu cara untuk memastikan jumlah yang hadir pada 27 September nanti melebihi kehadiran himpunan 26 Julai lalu – pastikan sampah yang dibersihkan selepas himpunan selesai nanti mesti lebih daripada 20,000 kilogram.
Angka kehadiran manusia boleh dianggar, dicongak, malah boleh juga dikelentong, tetapi berat sampah kena ditimbang dan ada angka yang boleh disaksikan.
Perdana Menteri hanya boleh dielak daripada dilihat tidak disokong rakyat dalam himpunan Kekal Anwar jika Nga Kor Ming dapat memastikan sampah yang dibersihkan sebaik selesai himpunan 27 September nanti boleh mencecah 50 tan atau 50,000 kilogram.
Kalau ada 50,000 kilogram, taklah malu nak gebang yang hadir nanti mencecah 200,000 ribu orang.- ShahbudinHusin 30July2025.
Leave a Reply