Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) membangkitkan aspek “tanggungjawab moral dan agama” dalam menggesa orang ramai menyertai himpunan bagi mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Anwr Ibrahim, di Kuala Lumpur Sabtu ini.
“DUPP menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab moral dan agama setiap rakyat untuk menyuarakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.
“Maka dengan ini, DUPP menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang, untuk turun ke jalan secara aman dan berdisiplin pada Sabtu ini. Inilah saatnya untuk kita nyatakan pendirian, demi maruah negara dan generasi akan datang,” kata ketuanya Ahmad Yahaya dalam kenyataan hari ini.
Himpunan itu dijangka bermula jam dua petang pada Sabtu ini, dan merupakan kemuncak kepada siri himpunan kecil anjuran PAS dan PN bagi mendesak Anwar letak jawatan.
Ahmad yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata Anwar perlu berbuat demikian kerana gagal menunaikan janji, memacu ekonomi dan menstabilkan pentadbiran negara.
“Kerajaan Madani hari ini umpama bas yang dipandu melulu, mendedah rakyat kepada bahaya kemalangan.
“Rakyat tidak lagi boleh berdiam diri melihat negara ini terus dipandu oleh pemandu yang hilang arah,” katanya lagi.
Menolak kritikan tersebut ke atasnya, Anwar sebelum ini memberi jaminan polis tidak akan mengganggu himpunan tersebut.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan jika PN ingin dia meletakkan jawatan, gabungan itu patut melakukannya menerusi undi tidak percaya di Parlimen.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/749723
Leave a Reply