Presiden PAS Hadi Awang menyuarakan hasrat mempertahankan jawatan disandang sejak 2003 menjelang muktamar di Kedah September ini.
Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, menegaskan beliau lebih sihat susulan menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada 17 Jun lalu.
“Kalau boleh saya nak mati dalam tugas,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Marang.
Bekas menteri besar Terengganu berdepan masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu, yang memerlukan rawatan dialisis dan beberapa kali dimasukkan ke hospital.
Bulan lalu, Sinar Harian melaporkan wakil rakyat Marang tujuh penggal itu memberi bayangan berundur daripada jawatan presiden PAS atas faktor kesihatan.
Difahamkan, Hadi ada menyuarakan hasrat tersebut kepada kepimpinan tertinggi parti dalam satu pemukiman baru-baru ini di Terengganu.
Perkara itu mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan dua jawatan tertinggi PAS menjelang pemilihan parti akan datang.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, mendakwa wujud desakan agar Hadi melepaskan jawatan tertinggi itu, walaupun perkara itu dinafikan beberapa pemimpin PAS negeri.
Februari lalu, sumber PAS memberitahu FMT parti itu mungkin mengadakan pertandingan bagi dua jawatan tertinggi pada pemilihan tahun ini — sesuatu yang belum berlaku dalam tempoh sedekad.
Hadi dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man tidak pernah dicabar bagi jawatan masing-masing sejak 2015.
Leave a Reply