Di ketika kedudukan kerajaan semakin dipertikaikan, kewujudan PN sebagai blok pembangkang juga turut sama diperkatakan.
Antaranya, PN dikatakan tidak cukup agresif bersuara dalam isu-isu yang berlaku dalam negara, majoriti Ahli Parlimennya seperti duduk dalam gua, kapal seperti ada dua nakhoda dan sehingga ini masih gagal memuktamadkan calon Perdana Menteri.
Dalam semua keadaan itu, majoriti mereka yang prihatin mahukan agar PN segera melakukan sesuatu bagi memastikan gabungan itu benar-benar dapat diyakini rakyat sebagai alternatif yang berwibawa.
Sekarang ini misalnya, ramai yang bertanya – dalam sibuk-sibuk blok pembangkang nak turunkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tetapi siapa calon penggantinya?
Adakah calon itu Muhyiddin Yasin, Hamzah Zainuddin atau Dr Ahmad Samsuri Mokhtar daripada Pas?
Meskipun meletakkan calon Perdana Menteri bukan rukun wajib dalam politik negara ini dan kadang-kadang calon yang ditonjolkan itu pula tidak semestinya wajib diberi kedudukan yang dinyatakan, namun rakyat secara umumnya lebih selesa jika calon Perdana Menteri itu dapat dizahirkan lebih awal.
Sekurang-kurangnya ada kesepakatan dalam menonjolkan seseorang pemimpin dan ini secara tidak langsung menggambarkan keberanian dalam membuat keputusan berkaitan perkara-perkara yang penting.
Mungkin ada yang sinis bertanya, kalau calon Perdana Menteri pun tak boleh ada kesepakatan, macam mana nak selesaikan masalah-masalah lain bila dah menang nanti?
Dalam hal ini, menjelang kira-kira dua tahun lebih lagi sebelum tibanya PRU16, mahu tidak mahu, PN mesti menyelesaikan perkara ini.
Bagaimana menyelesaikannya, terpulang kepada mereka memikirkan yang terbaik dan sama ada mahu menggenggam kuasa atau tidak.
Begitu pun, apa yang membanggakan berkaitan perkara ini ialah pendirian Pas yang jelas amat terpuji.
Selain parti itu mengatakan mereka tidak begitu ghairah untuk mengejar jawatan Perdana Menteri, meski sekarang ini memiliki jumlah Ahli Parlimen teramai sekali, dalam beberapa perkembangan berkaitan, Pas juga nampaknya tidak jemu-jemu melontarkan cadangan ke arah tertemunya jalan penyelesaian.
Pas juga menyatakan kesediaan untuk bersikap terbuka agar jawatan Pengerusi PN dipegang secara giliran.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik sebagai berkata, parti itu sedia memperhalusi syor tersebut walaupun jawatan Pengerusi PN secara konvensyennya adalah dilantik melalui rundingan antara anggota komponen.
βApa yang dipersetujui ialah memperkasakan PN.
βMaka perkara itu perlu diperhalusi dan Pas mengharapkan mesyuarat akan datang membincangkan hal ini, di samping persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya.
Terbaru, Pas turut mengemukakan cadangan supaya PN mewujudkan Majlis Presiden yang dianggotai semua presiden parti dalam gabungan itu.
Perkara itu dikongsikan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin, yang memberitahu perkara itu sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan Bersatu.
Katanya, ia antara syor Pas dalam usaha untuk menambah baik dan memperkasa struktur pentadbiran PN.
“Cadangan ini sudah sampai ke pihak Bersatu dan kita minta mereka sama-sama memikirkannya sebab ia memerlukan konsensus antara parti (dalam PN).
“Kita mencadangkan diwujudkan satu badan tertinggi dinamakan Majlis Presiden yang mana melalui majlis ini, ia akan dianggotai presiden parti yang secara prinsipnya akan melihat PN (secara menyeluruh).
“Ada pun pada peringkat pengoperasian βday to day (harian)β termasuk menjawab, menjuarai dan menggembleng isu, ia boleh diserahkan kepada jawatankuasa eksekutif,” katanya.
Melihat kepada kesungguhan Pas dengan satu demi satu cadangan dan tidak ghairah mahukan jawatan Perdana Menteri, adalah jelas bahawa parti itu serius mahu melihat PN benar-benar kukuh dan dipercayai rakyat bila tiba PRU16 nanti.
Untuk melihat semua itu menjadi realiti, semua pimpinan PN adalah diharapkan sentiasa berlapang dada dan bersikap terbuka, selain melihat satu demi cadangan Pas untuk memperkukuhkan gabungan itu diberi perhatian yang seserius-seriusnya.
Jika tidak, segala impian dan cita-cita tak mungkin dapat diubah menjadi kenyataan. – ShahbudinHusin 10July2025.
Leave a Reply