Dalam satu video yang tersebar di media sosial, Rafizi Ramli menafikan beliau berbohong atau berhalusinasi apabila mendakwa Anwar Ibrahim menjerit selama 20 minit kepadanya dalam satu mesyuarat PKR.
Bekas Menteri Ekonomi itu mempertahankan berlakunya insiden tersebut dengan berkata, “aku ada rakaman”.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan mungkin ada yang keliru berkenaan mesyuarat yang mana yang dimaksudkannya berlaku insiden jeritan itu.
“Mesyuarat MPP PKR yang saya maksudkan ialah pada 5 Mei lalu,” katanya.
Rafizi juga mendakwa, suara Anwar ketika dalam mesyuarat tersebut turut dapat didengar oleh pengiringnya dan beberapa orang lain yang berada di luar bilik mesyuarat yang diadakan di Seri Perdana itu.
Ahli Parlimen Pandan itu menambah, karektor Anwar yang dikenalinya sejak beliau berusia 17 tahun dan pernah bekerja di bawahnya, tidak pernah sama sekali meninggikan suaranya selama ini.
“Kalau dia tak bersetuju pun, dia biasanya bercakap dengan baik.
“Saya tak tahulah orang lain, mungkin bila dah sampai pecah bangunan, baru mereka ingat itu suatu jeritan.
“Kalau ada yang kata itu bukan jeritan, itu terpulanglah, mungkin mereka juga memiliki tahap “desibel toleransi” yang sangat tinggi,” ujarnya sinis.
Rafizi menjelaskan, dalam mesyuarat itu beliau hanya bertanya soalan kepada “developer” (berkaitan sistem pengundian), tetapi Anwar terus memotong cakapnya dan kemudian berlakulah insiden yang dimaksudkan itu.
Video Rafizi itu di sini – https://vt.tiktok.com/ZSBqyXCGS/
Dalam video itu, Rafizi juga membidas Dr Maszlee Malek yang menyifatkannya menghidap skizofrenia apabila membangkitkan isu kena jerit dengan Anwar.
Menurut Rafizi, Dr Maszlee tidak wajar menggunakan perkataan itu, walaupun untuk menunjukkan tidak suka kepadanya.
Dalam hal ini, terlanjur Rafizi sudah mendakwa memiliki rakaman insiden kena jerit itu, eloklah beliau dapat mendedahkan sepenuhnya kepada umum.
Ia bukan saja untuk membuktikan kebenaran, tetapi juga bagi menutup mulut mereka yang menafikan perkara itu sambil menuduhnya berhalusinasi atau mengidap skizorfenia.
Kebenaran pasti tidak dapat disanggah lagi apabila rakaman didedahkan. – ShahbudinHusin 14July2025.
Leave a Reply