Gemar benar nampaknya penyokong-penyokong PH menyerang keluarga Haji Hadi Awang apabila anak lelakinya meluahkan rasa kecewa atas penyebaran gambar Presiden Pas itu yang sedang dirawat di IJN sebagaimana didedahkan oleh Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan di laman sosialnya.
Anak lelaki Haji Hadi yang juga Exco Terengganu berkata, gambar itu disebarkan tanpa izin keluarga mereka.
Berikutan itu, Dr Dzulkefly kemudian memadam hantaran gambar yang disiarkannya itu.
Pelbagai kata-kata tidak enak dilontarkan kepada Haji Hadi, antaranya – apa yang nak dirahsiakan sangat tentang sakit dan rawatannya, berubatlah dengan bomoh di dalam gua kalau tak mahu orang tahu, kenapa beliau terima rawatan di hospital kerajaan dan macam-macam lagi.
Ada juga yang seronok menyiarkan kembali gambar-gambar lama Haji Hadi ketika menerima rawatan sebelum ini di mana antaranya beliau pernah dilawatinya oleh Najib Razak dan seorang pemimpin DAP.
Kenapakah penyokong-penyokong PH ini hanya gemar menyerang jika berkaitan Haji Hadi, tetapi apabila Perdana Menteri dikecam dan dipersenda berkaitan perluasan cukai SST, mereka hanya diam membisu?
Tindakan mereka berbuat seperti itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepada PH, jauh sekali mampu menambah sokongan.
Tak kira siapa pun, ketika mereka sakit atau menerima rawatan, sebaiknya kita hendaklah mendoakan kesembuhannya dengan segera.
Apabila seseorang dirawat di hospital, adalah menjadi hak keluarga seseorang itu untuk menjaga dan memelihara privasinya.
Siapa yang boleh melawat juga bergantung kepada keputusan keluarga menentukannya.
Begitu juga dalam kes Haji Haji, keluarganya mempunyai hak dalam perkara itu, lebih-lebih lagi tentang penyebaran gambar beliau ketika berada di katil hospital.
Dalam konteks Dr Dzulkefly memuat-naik gambarnya melawat Haji Haji, persoalan utama ialah apakah beliau mendapat kebenaran keluarga Presiden Pas untuk melawat atau beliau datang atas kuasanya sebagai Menteri Kesihatan?
Kalau kehadirannya melawat tanpa izin keluarga, sudah tentulah menyebarkan gambar juga dianggap tidak beretika.
Selain itu, kalau Haji Hadi dibenar menerima pelawat, kenapa tidak kedengaran pemimpin-pemimpin Pas datang melawatnya?
Dalam hal, ini luahan kekecewaan anak Haji Hadi adalah sangat berasas dan beliau berhak memelihara maruah serta kemuliaan keluarganya.
Tentang kenapa Haji Hadi menerima rawatan di IJN, haruslah kita sedar bahawa beliau adalah Ahli Parlimen yang memang berhak menerima rawatan di mana-mana premis kesihatan kerajaan dengan pembiayaan juga ditanggung oleh kerajaan.
Janganlah hanya kerana Haji Hadi berada di blok pembangkang, maka beliau seolah-olah kehilangan hak mendapat rawatan di hospital kerajaan.
Jika PH tidak berkuasa lagi selepas ini, bekas-bekas menteri dan Ahli Parlimen mereka juga berhak menerima kemudahan yang sama kiranya ditimpa masalah kesihatan.
Akhirnya, didoakan agar Haji Hadi segera pulih sepenuhnya, dapat terus memimpin Pas dan dapat melihat parti itu mengetuai kerajaan selepas PRU16 akan datang nanti. – ShahbudinHusin 19Jun2025.
Leave a Reply