Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR digesa mendedahkan senarai pengundi yang mengundi dalam pemilihan PKR yang berlangsung pada 23 Mei lalu.
Bercakap kepada Malaysiakini, bekas naib ketua Pemuda PKR, Prasanth Kumar Brakasam berkata pendedahan senarai pengundi penting selepas ramai calon yang bertanding bagi jawatan pusat termasuk sayap Pemuda dan Wanita masih mempertikaikan peratus keluar mengundi yang rendah.
“Pada awalnya, parti kata jumlah pengundi yang layak mengundi dalam 29,000 termasuk fizikal dan dalam talian. Kemudian, sehari sebelum hari mengundi jumlah itu turun kepada 22,089.
“Tapi, pada hari mengundi, mengikut JPP, yang menunaikan tanggungjawab (keluar mengundi) hanya 13,669 sahaja (jumlah undi diperolehi Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden).
“Persoalannya, kenapa hanya 13,669 perwakilan mengundi sama ada secara fizikal dan juga dalam talian? Di mana lebih 8,420 perwakilan yang layak tapi tak mengundi? Adakah mereka tak keluar mengundi atau kegagalan sistem? Ini yang kami nak tahu,” katanya.
Pada 14 Mei, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata lebih 29,000 perwakilan dijangka terlibat dalam pengundian secara fizikal dan dalam talian pemilihan kepimpinan pusat PKR untuk sesi 2025-2028.
Namun, pada 22 Mei Fuziah memberitahu seramai 22,809 perwakilan akan mengundi bagi memilih MPP termasuk 13,060 secara dalam talian dan 9,829 secara fizikal.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 6,990 perwakilan akan hadir di Johor Bahru, manakala 1,120 dan 919 akan mengundi secara fizikal di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, pada hari mengundi hanya 13,669 mengundi bagi jawatan timbalan presiden, berdasarkan jumlah undi yang diraih Nurul Izzah (9,803 undi) dan Rafizi (3,866 undi).
Sebelum ini Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa dipetik The Scoop berkata secara keseluruhan seramai 32,021 perwakilan layak mengundi bagi pemilihan pusat, namun sebanyak 18,268 undi direkodkan iaitu 12,618 undi dalam talian dan 5,650 undi fizikal direkodkan, menjadikan kadar keluar mengundi sebanyak 57.05%.
“Ia bukan sesuatu yang pelik kerana sistem kita sememangnya membenarkan perwakilan memilih mana-mana jawatan atau tidak memilih langsung. Itu hak mereka,” katanya.
Sementara itu veteran PKR yang juga Ahli Jawatankuasa JPP, R Sivarasa dalam laporan yang sama menjelaskan bagi pemilihan jawatan timbalan presiden, rujukan boleh dibuat kepada borang 14 dalam laman web parti yang menetapkan kuota 22,000 perwakilan layak mengundi dalam pemilihan bagi jawatan nombor dua itu.
“Turn out (perwakilan yang keluar mengundi) lebih kurang 57%, memang tidak tinggi, tapi kita dah bagi peluang untuk mengundi, dan kita tak boleh paksa mereka untuk undi.
“Memang ada yang kata agak rendah peratusan, tapi banding di peringkat Cabang, lebih tinggi sekitar purata 75% keluar mengundi,” katanya.
Dia berkata, proses pemilihan dibuat secara telus dan tidak timbul isu adanya tindakan boikot oleh sesetengah perwakilan yang layak untuk mengundi.
Mengulas lanjut, Prasanth berkata parti memilih sistem perwakilan pada pemilihan kali ini selepas sistem lama satu ahli satu undi dilihat sebagai kurang memberangsangkan.
Namun, katanya sistem perwakilan itu menimbulkan keraguan.
“Pucuk pimpinan telah memilih sistem perwakilan untuk memastikan peratus keluar mengundi yang tinggi berbanding sistem sebelum ini satu anggota, satu undi.
βJPP kata secara purata 57% keluar mengundi dalam pemilihan pusat. Angka ini jauh lebih rendah daripada 75% yang menunaikan tanggungjawab pada pemilihan cabang.
“Apa logik, untuk cabang peratus keluar 75%, tapi pemilihan pusat 57% sahaja. Kalau sistem satu ahli satu undi kita faham. Kita tak boleh paksa mereka untuk mengundi.
“Tapi, kali ini sistem perwakilan. Perwakilan dipilih oleh calon ketua cabang. Ramai calon ketua cabang turut bertanding bagi pusat. Mustahil untuk mereka tidak minat mengundi pada pemilihan pusat.
“Ini yang meragukan. Calon-calon yang bertanding telah membayar yuran pencalonan yang tinggi, maka senarai perwakilan yang keluar mengundi wajib diketahui.
“JPP perlu keluarkan senarai nama dengan nombor anggota perwakilan yang telah keluar mengundi pada hari mengundi (secara atas talian dan secara fizikal),” katanya.
Tambahnya, ramai calon akan menulis surat kepada pucuk pimpinan meminta untuk mendedahkan senarai pengundi yang mengundi.
Malaysiakini sudah menghubungi Fuziah dan JPP untuk mendapatkan komen.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/745325
Leave a Reply