DAP hari ini menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak lagi berselindung di sebalik alasan teknikal dan segera memulakan pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kes kematian Teoh Beng Hock.
Dalam satu kenyataan bersama, Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata keputusan AGC menutup kes atas alasan kekurangan bukti bercanggah dengan fakta kes dan keputusan mahkamah yang pernah dibuat.
Sambil menggesa AGC menyemak semula keputusannya untuk menghentikan siasatan, mereka juga menyokong tindakan undang-undang oleh keluarganya terhadap tindakan AGC yang mengklasifikasikan kes itu sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).
βKami dimaklumkan bahawa tindakan sedang dipertimbangkan untuk mencabar keputusan NFA di mahkamah melalui semakan kehakiman oleh keluarga Teoh.
“Kami menyokong tindakan ini dan juga meminta peguam negara menyemak keputusannya dan meneruskan pertuduhan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kematian Teoh tanpa berlengah-lengah lagi,” kata kedua-dua mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Mereka menegaskan bahawa walaupun polis bertanggungjawab menyiasat kes tersebut dan mengenal pasti pihak yang disyaki, kuasa untuk menentukan sama ada pendakwaan akan dibuat terletak di tangan peguam negara.
Sehubungan itu, mereka menggesa Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk menyatakan alasan di sebalik keputusan βtiada tindakan lanjutβ (NFA) yang dibuat pada 19 Mei lalu.
βPeguam negara dan tiada pihak lain yang mempunyai budi bicara untuk memulakan pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
βBeliau mesti menjelaskan mengapa beliau tidak dapat berbuat demikian dalam kes ini, khususnya mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan dan prosiding sivil di Mahkamah Tinggi,β tambah mereka.
Sambil menegaskan bahawa DAP secara konsisten menuntut tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kematian Teoh, mereka turut menyatakan bahawa parti itu pernah menyediakan bantuan guaman kepada keluarga mendiang.
Bulan lalu, Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi telah menggesa lima menteri DAP meletakkan jawatan sebagai tanda protes, dengan mendakwa parti itu gagal menunaikan janji untuk mendapatkan keadilan bagi Teoh.
Lima menteri tersebut ialah Gobind Singh Deo, Loke Siew Fook, Nga Kor Ming, Sim Chee Keong dan Hannah Yeoh.
Pada 22 Mei, peguam Ramkarpal Singh, yang juga ahli parlimen DAP serta adik kepada Gobind, mempersoalkan keputusan AGC dengan menegaskan bahawa keputusan itu tidak dimaklumkan secara langsung kepada keluarga Teoh, sebaliknya disampaikan melalui pihak polis.
Pada tahun 2009, Teoh, yang ketika itu merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas sesi soal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor yang ketika itu berpusat di Plaza Masalam, Shah Alam.
Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011 mendapati bahawa Teoh didorong untuk membunuh diri akibat teknik soal siasat yang agresif, namun keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan bahawa kematiannya berpunca atau dipercepatkan oleh perbuatan jenayah, termasuk yang dilakukan oleh pegawai SPRM.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis menyelesaikan siasatan ke atas kematian Teoh dalam tempoh enam bulan selepas Hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa Teoh.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/745504
Leave a Reply