Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

CADANGAN PAS TUBUH JAWATANKUASA DIKETUAI HAMZAH ADALAH JAWAPAN PEMBANGKANG TAK BERMAYA

Sebagaimana dipetik daripada Malaysiakini, PAS dilaporkan telah mencadangkan rombakan struktur Perikatan Nasional (PN) melalui penubuhan sebuah jawatankuasa eksekutif yang bertujuan memastikan gabungan itu lebih berperanan sebagai pembangkang.

Jawatankuasa eksekutif itu diberitakan dicadangkan untuk diketuai oleh  Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang juga merupakan Timbalan Presiden Bersatu.

Dalam cadangan itu, meskipun satu jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah akan ditubuhkan, tetapi Presiden keempat-empat parti komponen dalam PN – PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti India Rakyat Malaysia (MIPP)– akan terus memainkan peranan dalam Majlis Tertinggi seperti sedia ada.

Menurut sumber yang dipetik Malaysiakini, penubuhan jawatankuasa itu diusulkan bagi menyediakan Hamzah untuk menerajui tampuk kepimpinan negara sekiranya berlaku pertukaran rejim di peringkat pusat pada  PRU16 akan datang.

“Struktur lain tidak berubah, hanya sebuah jawatankuasa baru dibentuk, macam tubuh biro,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, difahamkan idea itu masih tergantung susulan dakwaan wujud penentangan daripada kem Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali.

Selama ini sering menjadi bualan ramai mengenai PN sebagai blok pembangkang yang dikatakan tidak cukup berkesan dalam memainkan peranannya.

Ramai yang kecewa, di sebalik begitu banyak isu yang timbul satu demi satu itu, tetapi PN juga ternampak lesu.

Secara umumnya, apabila kerajaan dibelenggu oleh banyak isu dan terlihat bercelaru, harapan rakyat ialah akan muncul suatu alternatif yang diyakini atau setidak-tidaknya wujud suara semak dan imbang yang memberi harapan kepada mereka.

Dalam sebuah negara demokrasi, selain rakyat berhak mendapat kerajaan yang mampu menjaga kepentingan mereka, rakyat juga sebenarnya berhak mendapat suara semak dan imbang meyakinkan daripada pembangkang.

Siapa lagi yang berhak menegur kerajaan, jika bukan pembangkang?

Dengan kedua-dua itu – kerajaan dan pembangkang – saling berperanan dengan baik, barulah akhirnya rakyat mendapat kerajaan yang benar-benar berfungsi,  sesuai dengan pelbagai cukai yang dikenakan ke atas mereka.

Ketika ini, masalah PN paling utama ialah ia sebuah pasukan yang tidak jelas siapa jenderal perang yang sebenar untuk menghadapi PRU16 akan datang.

Dengan Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang dipegang oleh dua pemimpin yang berbeza, gabungan pembangkang seolah-olah mempunyai dua ketua.

Dalam apa jua permainan yang ada pertandingan, waima jika main guli sekali pun, hanya seorang ketua saja yang diperlukan jika ingin beroleh kemenangan.

Apatah lagi untuk memenangi PRU, kewujudan dua ketua hanya mencerminkan kecelaruan, tiada perpaduan dan memungkinkan kekalahan ditempah lebih awal sebelum  bermulanya perlawanan.

Dengan itu, cadangan Pas berkaitan penubuhan jawatankuasa eksekutif yang diketuai operasinya oleh Hamzah adalah jawapan kepada kelesuan dan tidak bermayanya PN yang banyak diperkatakan ramai selama ini.

Melalui jawatankuasa itu, PN diyakini mampu bergerak lebih baik, tersusun dan senada dalam berhadapan dengan semua isu dalam negara.

Tiada pilihan, jika benar ada cita-cita ingin mengambil alih kerajaan, semua pihak dalam PN mesti memberi sokongan penuh kepada kewujudan jawatankuasa eksekutif yang dicadangkan Pas itu.

Menolak cadangan itu atau dalam erti kata lain, mahu PN kekal seperti keadaannya sekarang, ia sama seperti memberi laluan mudah kepada Anwar Ibrahim untuk kekal lagi sebagai Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 14Jun2025.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x