Bekas pemimpin DAP Wong Tack membidas Pakatan Harapan (PH) kerana disifatkan membelakangkan keluarga pembantu politik Teoh Beng Hock, yang ditemui mati di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam 17 tahun lalu.
Wong mendakwa PH hanya memperjuangkan kes itu sebelum ini kerana ia adalah sesuatu yang mereka boleh gunakan untuk mendapatkan undi.
Kata aktivis alam sekitar itu, perkara yang sama juga berlaku kepada bantahan terhadap loji pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.
βApa yang mereka pentingkan ialah meraih undi untuk mendapatkan jawatan mereka.
“Apabila sesuatu isu yang pernah mereka perjuangkan hilang daya tarikan politik, mereka tidak akan bersusah payah atau menghabiskan satu minit masa mereka untuk itu.
βDan jika mereka menghadapi tindak balas daripada rakyat kerana gagal menunaikan janji mereka, mereka menggunakan taktik yang tidak bertanggungjawab untuk melindungi diri mereka.
“Jentera politik mereka akan dilepaskan untuk memutarkan isu ini. Naratif yang serong akan dibina untuk memanipulasi persepsi orang ramai,” kata Wong dalam satu kenyataan.
Bekas ahli parlimen Bentong itu mengulas keluhan adik Beng Hock, Teoh Lee Lan, yang mempersoalkan komitmen PH dalam mendapatkan keadilan bagi kes abangnya.
Lee Lan memberitahu podcast Malaysiakini bahawa keluarganya masih terperangkap dalam penantian yang panjang dan menyakitkan untuk jawapan mengenai kematian mendiang.
Ini berikutan keputusan polis bulan lepas untuk menutup siasatan semula mereka terhadap kematian misteri Beng Hock dan mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut.
“Ke mana perginya janji anda untuk beri jawapan? Kenapa sekarang NFA?’
“Sejujurnya, apa yang saya ingin tanya adalah ini: kepada semua orang dalam PH yang pernah berdiri di sisi kami, mengapa anda berubah?” kata Lee Lan semasa podcast berbahasa Cina itu.
Sehubungan itu, Wong berkata PH tidak berubah, sebaliknya hanya menunjukkan wajah sebenar selepas berkuasa.
“Mereka tidak berubah, Lee Lan. Ini sifat sebenar mereka,” kata Wong.
Pada 2009, Beng Hock, pembantu kepada Ean Yong Hian Wah, ketika itu exco kerajaan negeri Selangor, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di SPRM Selangor, yang ketika itu beribu pejabat di Plaza Masalam di Shah Alam.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011 memutuskan Beng Hock didorong untuk membunuh diri kerana soal siasat yang agresif.
Bagaimanapun, pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/746121
Leave a Reply