Selain Rafizi Ramlli dan Nurul Izzah Anwar, nama lain yang cukup popular dan sering disebut ramai sepanjang episod pemilihan PKR kali ini ialah R Ramanan.
Ramanan adalah Ahli Parlimen Sungai Buloh serta memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menyertai PKR daripada MIC pada tahun 2020, nama beliau mula jadi perhatian apabila berjaya menewaskan Khairy Jamaluddin atau KJ pada PRU15 lalu di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
Pada waktu itu, KJ ialah Menteri Kesihatan di bawah pentabdiran Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pemilihan kali ini, Ramanan adalah antara 12 calon yang akan merebut jawatan Naib Presiden PKR.
Beliau adalah penyokong kuat Nurul Izzah dalam usaha Puteri Reformasi itu merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Rafizi.
Tidak pasti apa peranan Ramanan dalam gerakan kempen Nurul Izzah, tetapi yang pastinya beliau begitu kerap mengeluarkan kenyataan kepada media terkait pertandingan yang sedang berlangsung.
Tiada pemimpin PKR lain sekerap beliau mengeluarkan kenyataan dan menzahirkan sokongan kepada Nurul Izzah.
Kerapkali pula kenyataan medianya mengundang perhatian daripada Rafizi.
Sebab itu, dalam setiap Jelajah HIRUK setakat ini, nama Ramanan tidak pernah ketinggalan daripada disebut Rafizi.
Dan itulah antara faktor yang menjadikan namanya begitu popular, baik di kalangan ahli serta perwakilan PKR mahupun rakyat biasa yang mengikuti perkembangan pemilihan kali ini.
Bahkan di kalangan calon-calon yang bertanding jawatan Naib Presiden, nama Ramananlah yang paling popular dan kerap dijadikan sebutan.
Yang menariknya, di samping dalam kem Nurul Izzah kehadirannya cukup disenangi, di kem lawan iaitu kem Rafizi juga namanya hampir tidak lekang daripada sebutan.
Berdasarkan populariti dan kerapnya nama beliau dijadikan sebutan, Ramanan ketika ini dilihat begitu menonjol sekali.
Dengan itu, tidak mustahil beliau akan terpilih antara empat pemenang Naib Presiden PKR pada 23 Mei nanti. – ShahbudinHusin 18Mei 2025.
Leave a Reply